BUENOS AIRES: Jurulatih Argentina Lionel Scaloni semalam berkata, beliau masih belum pasti sama ada kapten Lionel Messi akan diturunkan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pasukan itu menentang Paraguay.
Pemain berusia 36 tahun itu telah bergelut dengan kecederaan otot yang tidak dinyatakan dan terlepas empat perlawanan berturut-turut untuk Inter Miami sebelum bermain selama 35 minit dalam kekalahan 1-0 pasukan itu kepada Cincinnati pada Ahad lalu.
“Beliau kelihatan baik tetapi saya akan bercakap dengannya sebelum memutuskan sama ada beliau bermain dari awal atau tidak.
“Beliau kelihatan baik semasa latihan tetapi kami perlu melihat bagaimana perasaannya. Kemudian kami perlu mempertimbangkan bahawa ada satu lagi perlawanan (menentang Peru) dalam empat hari.
“Kami tidak akan membuat sebarang keputusan terburu-buru kerana kami tahu bahawa sesiapa sahaja yang datang ke dalam pasukan untuk menggantikannya, jika itu berlaku, akan melakukan kerja yang baik,” kata Scaloni kepada pemberita menjelang aksi pada Khamis di Estadio Monumental di Buenos Aires, kata Xinhua.
Scaloni ditanya tentang kesukaran memilih antara penyerang Manchester City Julian Alvarez dan penyerang Inter Milan Lautaro Martinez untuk peranan No. 9.
Agak mengejutkan, jurulatih itu membangkitkan prospek untuk menggandingkan kedua-dua pemain sebagai kesebelasan utama dalam aksi menentang Paraguay.
“Saya terbuka kepada banyak perkara. Ia bergantung kepada perlawanan dan apa yang kami percaya adalah yang terbaik untuk pasukan.
“Kedua-dua pemain itu adalah pemain nombor sembilan (penyerang) tetapi mereka juga pemain yang berbeza dan boleh bermain bersama,” kata Scaloni.
Argentina memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dengan kemenangan ke atas Ecuador dan Bolivia bulan lalu.
Penyandang juara dunia itu kini menduduki tempat kedua dalam kumpulan 10 pasukan Amerika Selatan, mengekori Brazil menerusi perbezaan jaringan gol. – Bernama – Xinhua