JAKARTA: Persis Solo, kelab bola sepak Indonesia yang berpangkalan di kota Surakarta, Jawa Tengah, telah menerima jemputan kem latihan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Seramai 26 pemain akan dibawa ke kem latihan serta menjalani dua sesi perlawanan persahabatan dengan juara Liga Super sembilan kali bermula esok sehingga 18 November, menurut kelab dalam satu kenyataan.
Persis Solo turut akan melakukan kajian perbandingan serta penyelidikan berkaitan tadbir urus kelab, infrastruktur sokongan, sistem akademi dan pengurusan yang diterapkan JDT.
“Kami percaya tadbir urus kelab profesional dalam industri bola sepak moden boleh dipelajari daripada JDT yang meraih pelbagai kejuaraan domestik dan pencapaian di Asia dalam tempoh sedekad,” katanya.
Pengurusan Persis Solo dipimpin Kaesang Pangarep, anak bongsu Presiden Joko Widodo sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, sahamnya turut dimiliki jutawan dan Menteri Perusahaan Milik Negara Erick Thohir.
Bekas pembantu jurulatih di JDT Leonardo Medina pada Ahad telah dilantik sebagai jurulatih baharu kelab dan kini berusaha memastikan aspek fizikal pemain berada dalam keadaan terbaik.
Liga Indonesia masih digantung kerajaan susulan tragedi di Stadium Kanjuruhan pada 1 Okt yang meragut 135 nyawa.
Polis melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan perusuh setelah perlawanan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya tamat, mencetuskan rempuhan di pintu keluar stadium akibat peminat panik.
-Bernama