
LIMBANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa segera menangani isu kekurangan pasport pergerakan terhad berwarna biru yang kini melanda seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata etakat ini Jabatan Imigresen Limbang hanya memiliki baki 34 naskhah pasport biru, yang diperuntukkan untuk kes-kes kecemasan sahaja.
“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Imigresen Limbang bahawa mereka telah kehabisan stok pasport biru, dan situasi ini bukan hanya berlaku di Limbang, tetapi melibatkan seluruh Sarawak.
“Saya telah menghubungi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, bagi memohon bantuan dan meminta agar pihak vendor yang mengeluarkan pasport ini dapat mempercepatkan penghantaran ke Sarawak, kerana rakyat amat memerlukan dokumen ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Latihan Kecemasan Bangunan Operasi Haji Tanah Air (OHTA) 2025 di Lapangan Terbang Limbang, hari ini.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Malaysia Airports Muhammad Hidayat Ismail, Pengurus Tabung Haji Cawangan Limbang Musapir Abdullah, dan Pengurus Lapangan Terbang Limbang Shaziana Mohd Sahrill.
Menurut Hasbi, penduduk di Limbang, Lawas dan kawasan sekitarnya sangat bergantung kepada pasport pergerakan terhad berwarna biru untuk ke Brunei, memandangkan kadar bayaran yang jauh lebih rendah iaitu RM50, berbanding RM200 bagi pasport antarabangsa berwarna merah.
Oleh Adeng Edrus