Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Kekuatan Latar dan Pembinaan Konflik
  • WBS

Kekuatan Latar dan Pembinaan Konflik

Utusan Sarawak 15 hours ago

TAHNIAH kepada Benjamin Asin; penulis cerpen “Antivirus Integriti untuk D”. Cerpen ini menggunakan latar semasa yang dihidupkan oleh penulis dengan kemahiran ilmu dalam subjek yang diceritakan.

Cerpen ini mempunyai ilmu bantu yang dimiliki oleh penulis dan bukan sekadar bercerita. Khalayak yang menikmati cerpen ini sudah tentu mengakui kepakaran penulis dalam bidang yang dipilih, khususnya latar masyarakat digital.

Penulis juga bijak mengaitkan latar masyarakat digital dengan konflik dalam cerita. Latar masyarakat berkait rapat dengan watak-watak dalam karya dari segi laku dan kebolehannya.

Oleh yang demikian, penulis berjaya menggunakan kelebihan watak-watak itu dalam dunia digital untuk membina konflik dan menyelesaikan konflik.

Latar

Sesuai dengan zaman, kepekaan masyarakat dan selaras dengan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat, subjek latar pilihan penulis adalah tepat dan sesuai dengan keperluan masyarakat.

Latar cerita cerpen penulis ialah latar masyarakat digital yang serba sedikit memaparkan suasana kerja dalam masyarakat digital yang menggunakan kemahiran teknologi maklumat.

Oleh yang demikian, penulis sewajarnya mahir menggunakan diksi-diksi yang berkaitan teknologi maklumat. Bahkan, bukan sahaja tahu diksi-diksi berkaitan tetapi juga hendaklah memahami serta menguasai fungsi perkataan-perkataan dipilih dalam dunia teknologi maklumat.

Lebih penting lagi dalam kerjaya seorang penulis kreatif adalah memberi kefahaman kepada pembaca secara mudah khususnya yang masih kurang mahir dalam bidang itu agar  boleh mengikuti cerita dari awal hingga akhir dengan santai.

Watak

Dalam cerpen yang berlatarkan masyarakat digital, penulis telah mencipta watak-watak yang tahu menggunakan teknologi maklumat.

Penulis bijak memilih watak berpengaruh dalam kampung tersebut, iaitu watak pemimpin dalam masyarakat yang telah menggunakan teknologi tersebut – Penghulu  Nyah.

Penghulu Nyah sudah semestinya memiliki sebuah  komputer dan tetikus untuk menggerakkan arahan.

Penulis juga menggambarkan bahawa Penghulu Nyah menggunakan teknologi maklumat dalam urusan kerjanya seperti ketika bermesyuarat. Hal ini diceritakan oleh penulis pada awal cerita;

PENGHULU Nyah gelisah. Terduduk bersandar di kerusi hijau empuk di balai raya. Melihat skrin monitor laptop Acer Aspire One dengan tenungan tajam. Jejarinya menyentuh kepala tetikus yang bewarna hitam sambil membuka satu per satu subfolder dokumen dalam folder PEMBANGUNAN KAMPUNG ULU SIBOKAH. Cursornya digerakkan agar skrin tidak padam sambil memikirkan perancangan berikutnya. Perancangan untuk membuat kertas kerja memohon projek pembangunan lain untuk kampung tercinta ini.

Watak Penghulu Nyah bukan sekadar memiliki komputer dan tahu menggunakan alat teknologi maklumat, namun lebih daripada itu, kemahiran dimiliki oleh Penghulu Nyah diceritakan oleh penulis.

Penulis menggambarkan Penghulu Nyah sebagai seorang watak berpendidikan teknologi maklumat sebagai walaupun sudah tua.

Hal ini memberi gambaran bahawa masyarakat di situ terdedah dengan penggunaan teknologi maklumat kerana pengaruh pemimpin mereka walaupun orang lama tetapi berpendidikan tinggi dalam bidang teknologi tersebut.

Hal ini diceritakan oleh penulis seperti berikut;

Walaupun Penghulu Nyah seorang lepasan diploma ICT di salah sebuah politeknik di Sarawak pada suatu masa dahulu, namun beliau memiliki bakat tokoh kepimpinan arwah bapanya.

Penghulu Nyah juga menggunakan teknologi maklumat untuk berhubung dengan pihak atasan bagi memudahkan komunikasi dan penyelarasan projek.

Beliau berhubung dengan Datuk Deraman menggunakan Facebook Messenger dan WhatsApp. Hal ini membuktikan bahawa penggunaan teknologi maklumat sungguh penting dalam latar masyarakat cerpen penulis.

Selain Penghulu Nyah, watak penting lain yang mahir menggunakan teknologi maklumat ialah Ajong. Ajong seorang yang berpengaruh dan bakal menjadi ketua kampung. Dia berani bersuara di hadapan Penghulu Nyah.

Kepakaran Ajong dalam teknologi maklumat melebihi kepakaran Penghulu Nyah. Dia merupakan graduan teknologi maklumat dan bekerja dalam bidang tersebut. Malah khidmat beliau juga diperlukan di peringkat kampung sebagai pentadbir Biro ICT. Hal ini diceritakan oleh penulis seperti berikut;

Ajong merupakan seorang lepasan graduan teknologi maklumat dalam bidang pembinaan sistem dan kini bekerja sebagai Senior IT dalam Seksyen Keselamatan Teknologi Maklumat di sebuah syarikat swasta. Kini, beliau dipertanggungjawabkan untuk dalam mentadbir Biro ICT peringkat kampung.

Selanjutnya, cerpen ini juga menggambarkan bahawa orang-orang di kampung tersebut khususnya golongan muda menggunakan internet secara meluas.

Keadaan ini dibantu oleh kemudahan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan seperti tenaga solar dan kemudahan internet. Hal ini diceritakan oleh penulis seperti berikut;

Cahaya lampu putih terang benderang memberi peluang kepada anak-anak muda melayari internet. Asyik benar mereka berinternet seolah-olah tiada esok bagi mereka. Tenaga solar membawa erti kesenangan kepada penduduk kampung ulu pedalaman Sarawak ini. Adat dan budaya kaum masih dikekalkan walaupun diselubungi arus teknologi maklumat. Kekuatan Wifi Komuniti memudahkan capaian internet selaras dengan inisiatif digital negeri Sarawak. Masa depan mendepani arus digital sudah kelihatan cerah menjelang 21 tahun lagi. Anak-anak muda sudah kelihatan advanced dan bijak mengenai dunia komputer termasuk Ajong.

Seterusnya, penulis menggambarkan sebilangan besar latar masyarakat di situ tahu menggunakan teknologi maklumat dengan wujudnya Facebook ciptaan Penghulu Nyah sendiri.

Facebook itu digunakan sebagai alat aplikasi perhubungan, pemberitahuan kepada masyarakat dalam kampung dan pendedahan kepada masyarakat luar. Hal ini menggambarkan bahawa masyarakat di situ tidak lagi terpinggir sebaliknya kehidupan mereka boleh diketahui oleh masyarakat global.

Dari segi keahlian, Facebook tersebut mempunyai friends sebanyak 215 orang yang terdiri daripada orang kampung. Angka 215 itu sudah dikira ramai bagi sebuah kampung menguasai teknologi maklumat lantas mendukung cerita penulis yang berlatarkan masyarakat digital. Keadaan ini diceritakan oleh penulis seperti berikut;

Pertama kali masuk dalam sejarah mesyuarat kampung. Facebook ciptaan Penghulu Nyah demi kemajuan kampungnya sebulan lepas. Gambar pemandangan sungai kampung telah dijadikan sebagai profile picture Facebook itu. Jumlah friends meliputi 215 orang penduduk kampung dan segala post merangkumi projek pembangunan dan tempat menarik.

Selain watak, penulis juga menghidupkan latar masyarakat digital dengan menguasai diksi-diksi yang berkaitan dengan masyarakat digital.

Terdapat banyak istilah yang dikekalkan dalam bahasa Inggeris digunakan; menggambarkan bahawa penulis menguasai bidang atau subjek yang ingin diceritakan seperti Facebook, WhatsApp, profile picture, wifi dan sebagainya. Penggunaan diksi tersebut turut berkaitan dengan plot cerita dan konflik penceritaan.

Konflik

Penulis menggambarkan konflik sejak awal cerita ketika Ajong membantah Penghulu Nyah; “Semua yang kamu buat itu tidak betul,” kata Ajong.

Keadaan ini menimbulkan reaksi tegang oleh Penghulu Nyah; ‘Tetapi hatinya panas benar. Dia dicabar bulat-bulat oleh orang itu.’

Konflik cerita penting dalam sebuah cerpen. Lebih menarik apabila penulis menggunakan teknik suspens bagi memperkenalkan konflik. Pembaca tidak mengetahui apakah punca dan sebab Ajong mempertikaikan Penghulu Nyah? Penulis bijak bermain teknik dengan pembaca.

Pembaca hanya didedahkan dengan perkataan ‘tidak betul’ bagi menyatakan bahawa Ajong mempertikaikan Penghulu Nyah tetapi tidak ada maklumat tentang ‘tidak betul’ itu.

Lagipun jawapan Penghulu Nyah dengan soalan ‘Apa salahku?’ semakin membuat pembaca suspens. Pembaca perlu membaca lebih lanjut untuk mengetahui cerita sebenar.

Cara penulis menghadirkan konflik itu agak menarik. Namun pembaca sudah dapat menangkap satu maklumat bahawa Ajong berkonflik dengan Penghulu Nyah. Keadaan tegang itu digambarkan oleh penulis seperti berikut;

“Semua yang kamu buat itu tidak betul,” kata Ajong… “Apa salahku?” tanya Penghulu Nyah. Matanya memandang tepat ke arah Ajong. “Apa salahku, Ajong?” ulang Penghulu Nyah lagi. Dia tahu. Dia tidak sepatutnya bersikap sebegitu kepada Ajong. Tetapi hatinya panas benar. Dia dicabar bulat-bulat oleh orang itu.

Konflik dalam cerita dihadirkan oleh penulis dengan mengaitkan teknologi digital. Penggunaan Facebook Mesengger digunakan sebagai alat untuk meruncingkan konflik.

Aplikasi itu telah mendedahkan punca sebenar Ajong berkonfik dengan Penghulu Nyah. Pendedahan maklumat melalui aplikasi tersebut telah menyebabkan ramai orang tahu dan membacanya dan menimbulkan pelbagai sangkaan.

Antara sangkaan yang boleh timbul akibat daripada pendedahan tersebut ialah Penghulu Nyah menerima rasuah. Sangkaan ini boleh dikaitkan oleh pembaca dengan pengenalan awal konflik sebelum itu dengan tuduhan Ajong; ‘Semua yang kamu buat itu tidak betul’.

Penghulu Nyah terdedah dengan pelbagai tuduhan apabila Datuk Deraman mahu memasukkan 100,00.00 ke dalam akaun peribadi Penghulu Nyah.

Walaupun Penghulu Nyah mempertikaikan tindakan Datuk Deraman itu, namun belum boleh menghapuskan sangkaan jahat Ajong dan orang yang membaca mesej tersebut.

– Projek itu sudah diluluskan oleh Board of Directors Syarikat Bridges Co. pada mesyuarat hari ini. Saya telah mempertahankan projek di Kampung Ulu Sibokah demi kepentingan pembangunan di sana. 200,000 harga jumlah projek itu dan 100,000 akan dimasukkan ke dalam akaun Penghulu Nyah.

– Kenapa perlu dimasukkan ke dalam akaun saya? Adakah saya kontraktor projek ini?

 Segala perbincangan Penghulu Nyah dengan Datuk Deraman melalui Facebook Messenger telah dipaparkan pada skrin projektor. Penduduk kampung menyaksikan perbualan tersebut bersama kertas cadangan mereka.

 Konflik tersebut mendedahkan Penghulu Nyah kepada pelbagai tuduhan. Konflik itu bukan sahaja semakin mengukuhkan tuduhan Ajong sebelum itu, tetapi juga menimbulkan konflik dalaman dalam diri watak Penghulu Nyah yang berdepan dengan semua orang yang membacanya. Keadaan konflik semakin memuncak apabila Ajong menyatakan reaksi seperti berikut;

“Nampak tak kesalahan penghulu di sana? Screenshot messenger tersebut untuk dijadikan bukti rasuah,” Ajong berhenti sambil mengambil nafas. Suaranya tertib dan dia menyambung semula kata-katanya.

Penghulu Nyah menerima tuduhan berat daripada Ajong. Malah Ajong bertindak kasar dengan menunjukkan jari ke muka Penghulu Nyah sebagai tanda konflik ciptaan penulis semakin meruncing. Konflik ini turut dinyatakan oleh penulis dalam diri watak Penghulu Nyah yang amat berat ditanggungnya seperti berikut;

Penghulu Nyah benar-benar marah dengan tindakan Ajong. Mukanya merah padam. Maruahnya sebagai penghulu telah tercabar. Belum pernah orang kampung mempersendakannya selama ini. Dalam sejarah hidupnya, ini adalah tamparan besar yang paling hebat. Sebelum ini, tiada seorang pun yang berani mengangkat muka. Tiada siapa yang berani menentangnya. Penghulu Nyah tahu dia sentiasa benar.

Penyelesaian Konflik

Kebijaksanaan penulis dalam hal ini adalah bermain sembunyi dengan pembaca. Penghulu, walaupun dituduh rasuah dan buktinya jelas melalui paparan pada aplikasi tersebut, tetapi kesalahan itu masih agak kabur kerana itu hanya mesej Datuk Deraman dan Penghulu Nyah membantah tindakan tersebut.

Namun penulis secara langsung telah mendedahkan pesalah sebenar ialah Datuk Deraman. Keadaan ini diakui oleh Ajong setelah berfikir seketika seperti berikut;

Pantas Ajong menidakkan andaian buruk terhadap Penghulu Nyah. Dia menyimpulkan keyakinan untuk membantu Penghulu Nyah kerana kredibilitinya. Sel-sel otaknya ligat mencari ketentuan dan penilaian positif terhadap Penghulu Nyah. Usaha yang dirancangnya itu baik untuk penduduk kampung.

Tindakan positif Ajong menjadikan dia hero. Dia membantu Penghulu Nyah. Dia berusaha mendapatkan maklumat berkaitan urusan Datuk Deraman dengan kebijaksanaannya dalam IT.

Dia dapat maklumat tersebut sebagai bukti urusan tidak betul Datuk Bahaman namun maklumat itu gagal disimpan kerana laptop Penghulu telah diserang;

Ajong terus membuka link tersebut pada laptop Penghulu Nyah. Banyak folder mengenai latar belakang, peruntukan dan jangka masa projek dijalankan. Ada sebuah folder tertulis nama D. Mungkin tersalah masuk dalam link itu. Ajong terus klik dan melihat banyak kejayaan Datuk Deraman dalam pembangunan beserta hasil keuntungannya. Penyata bank menunjukkan gajiannya jutaan ringgit. Ramai sekali kontraktor telah melabur saham dalam syarikat Datuk Deraman.

Peleraian

Ajong melalui kepakarannya menggunakan Antivirus Integriti untuk mendapatkan kembali maklumat tersebut dan melaporkan kepada pihak berkuasa.

Penulis bijak menggunakan pengetahuannya dalam hal-hal komputer untuk menyelesaikan konflik yang dibina sejak awal cerita. Dalam hal ini berlaku kejadian aktif serang dan lawan dalam dunia komputer membuktikan penulis menguasai bidang tersebut. Antara suasana tegang itu digambarkan oleh penulis seperti berikut;

Usaha untuk memulihkan dan menjernihkan keadaan ini terletak melalui kepakaran Ajong. Lantas Ajong terus menekan punat delete pada antivirus tersebut dan jemarinya pantas klik Report to SPRM pada antivirus tersebut. Virus tersebut dapat dihapuskan serta merta. Laptop itu gelap dan off seketika.

Penambahbaikan

Cerpen ini sudah baik, namun boleh juga dilakukan penambahbaikan dalam beberapa perkara seperti dari sudut penggunaan istilah, tatabahasa dan kandungan nilai.

Bagi memudahkan pembaca yang bukan berlatar pengetahuan teknologi maklumat, penulis disarankan untuk menggunakan gaya cerita yang lebih mudah untuk menjelaskan sesuatu istilah digital yang digunakan. Penulis boleh memanfaatkan kaedah dialog, monolog atau sebagainya yang difikirkan sesuai.

Dari segi tatabahasa; boleh diteliti aspek ejaan dan perkataan lewah seperti berikut;

  1. untuknya bekerja sebagaidengan pelbagaipengkegunaan
  2. beliau dipertanggungjawabkan untuk dalam mentadbir Biro ICT  peringkat kampung.
  3. dalam pembangunan beserta hasil keuntungannya.
  4. Antivirus merupakan atur cara terbaik yang digunakan utk     mengesan dan menghapuskan virus komputer. 

Beberapa contoh kesalahan di atas sewajarnya dielak dan dilakukan penyuntingan berulang kali kerana karya kreatif sastera merupakan hasil seni yang halus semestinya betul dan tepat.

Dari segi nilai, ada juga nilai yang bercanggah dengan pembinaan watak hero seperti adab kepada pemimpin walaupun dalam keadaan tegang; mungkin boleh dilenturkan sedikit berbanding jika watak itu bukan hero kerana amat berkaitan dengan pembinaan watak untuk ikutan golongan muda jika karya itu dipilih sebagai teks contoh. Hal ini merujuk kepada contoh berikut;

  1. Balas mesej itu!” tegah Ajong sambil menghentak meja. Terkejut semua yang berada di situ dengan sentakan tersebut.
  2. Ditunjukkan jari ke arah muka Penghulu dengan perasaan tidak puas hati.

Kesimpulan

Cerpen ini menarik kerana menggunakan latar yang kuat bagi mengukuhkan subjek cerita dan membina konflik serta penyelesaian; yang amat berkaitan dengan kemahiran penulis dalam bidang digital atau teknologi maklumat.

Cerpen ini boleh dijadikan panduan kepada penulis baharu tentang cara menggunakan pengetahuan dan ilmu dalam berkarya.

Karya yang mempunyai kandungan ilmu bukan sahaja berguna kepada masyarakat, bahkan juga demi kualiti sesuatu karya. Teruslah menulis kerana penulis ini berbakat dan hebat cuma lakukan ketelitian dalam bertukang seperti dinyatakan dalam penambahbaikan.

Oleh Mohd Ali bin Salim (Munsyi Sastera)

Continue Reading

Previous: Menelusuri Refleksi Kehidupan dalam Puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.