
ARLINGTON, Amerika Syarikat: Kylian Mbappe meluahkan kekecewaan selepas impian Perancis untuk menjulang Piala Dunia berakhir, sambil menyifatkan kelemahan taktikal dan teknikal sebagai punca kekalahan 0-2 kepada Sepanyol dalam aksi separuh akhir pada perlawanan 3.00 pagi tadi (waktu Malaysia).
Mbappe muncul antara pemain utama yang mencuri tumpuan sepanjang kejohanan apabila membantu Perancis mara ke kelompok empat pasukan terbaik, selain meledak lapan gol sebagai peneraju jentera serangan yang menghiburkan peminat bola sepak seluruh dunia.
Namun, hasrat kapten Perancis berusia 27 tahun itu untuk beraksi dalam final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian apabila Sepanyol tampil lebih ampuh menewaskan Les Bleus di Stadium AT&T, Arlington, Texas.
Mbappe memberitahu penyiar Perancis, M6, bahawa kekalahan itu adalah satu “kekecewaan besar” buat skuad negara itu.

“Saya tidak fikir kami beraksi seperti yang kami inginkan, sama ada dari segi taktikal, teknikal mahupun tahap persembahan keseluruhan.
“Apabila anda gagal melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia, anda tidak akan menang,” kata penyerang Real Madrid itu.
“Matlamat kami adalah untuk melakukan tekanan tinggi bagi menghalang mereka daripada membina rentak permainan yang perlahan dan terkawal kerana dari segi penguasaan permainan, mereka lebih baik daripada kami. Kami gagal melakukannya.”
Mbappe berkata masalah utama Perancis berpunca daripada kelemahan di bahagian tengah apabila gandingan Adrien Rabiot dan Aurelien Tchouameni gagal menandingi trio Sepanyol, Rodri, Dani Olmo dan Fabian Ruiz.
“Kami sering berdepan situasi tiga pemain lawan dua di bahagian tengah. Menentang Sepanyol, keadaan itu menjadi masalah besar.
“Apabila semuanya digabungkan, keputusannya adalah kekalahan. Ia satu kekecewaan yang amat besar,” katanya.
Mbappe berkata skuad Perancis yang kecewa tetap berazam untuk bangkit selepas menilai kelemahan yang membawa kepada kekalahan itu.
“Ia adalah impian kami untuk mara ke final, memberikan peluang kepada negara kami untuk terus bermimpi dan mencipta sejarah.
“Kini, kami perlu menghadapi perkara ini dengan kepala tegak. Saya percaya apabila menang, kita perlu menang dengan kepala tegak; begitu juga apabila kalah, kita perlu menerima kekalahan dengan cara yang sama.
“Namun, ketika ini, terdapat kekecewaan yang sangat besar. Sukar untuk saya menggambarkan betapa kecewanya saya dan seluruh pasukan.
“Walaupun ia mungkin kelihatan seperti perkara biasa, kami perlu bangkit, berehat dan melangkah ke bab seterusnya. Bola sepak tidak menunggu sesiapa. Kami perlu bermula semula, melupakan kegagalan ini dan mengambil pengajaran daripadanya,” katanya. – AFP




