MUKAH: Penduduk tempatan menyambut baik tentang tindakan terbaharu kerajaan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan tempat yang sesak.
Antara yang telah menyuarakan kebimbangannya mengenai sifat sambil lewa orang ramai terhadap penggunaan pelitup muka ialah ketua masyarakat tempatan.
Menurut Kapitan Kang Boon Eong, perkara tersebut adalah amat penting dalam SOP semenjak Perintah Kawalan Pergerakan lagi.
“Saya memang menganggap langkah untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan tempat yang sesak mulai 1 Ogos itu sebagai amat penting. Malah, saya telah menyuarakan kekuatiran mengenai perkara tersebut semenjak PKP dan PKPB dahulu lagi,” ujarnya.
Justeru katanya, sejurus bas ekspres antara daerah dibenarkan beroperasi semula semenjak awal Jun lagi dia sudah terfikir perkara pematuhan SOP itu.
“Terutama bagi kita di kawasan hijau ini kita tidak boleh mengambil perkara itu sambil lewa sahaja, jika tidak tahu mungkin penumpang daripada luar yang berstatus kawasan kuning dan yang lebih teruk menggunakan pengangkutan awam tersebut dan tidak memakai pelitup muka dan juga mungkin tidak disaring suhu sebelum masuk bas. Justeru, apabila saya mendengar ia beroperasi semula saya amat khuatir mengenai impaknya, terutama jika terbelaku pelanggaran SOP,” kata dia lagi.
Kang juga menyifatkan pembawa virus Covid-19 yang tak bergejala itu adalah yang amat berbahaya kerana dia sendiri tidak mengetahuinya.
“Ia menjuruskan seseorang itu untuk bersifat acuh tak acuh atau tidak mematuhi SOP seperti penjarakan sosial mahupun menggunakan pelitup muka kerana menganggap dia bebas daripada virus dan mungkin rakan atau penumpang lain tidak merasa ragu untuk duduk berdekatan dengan dia,” tambahnya.
Justeru, katanya, arahan terkini kerajaan itu harus diambil serius oleh orang ramai kerana pengalaman PKP dan PKPD harus dijadikan pengajaran demi untuk keselamatan semua.
“Kita tak mahu gelombang kedua penularan Virus Covid berlaku seperti apa yang berlaku di beberapa buah negara lain,” katanya.
Oleh Henry B Siyu