ADENG IDRUS
LAWAS: “Jangan pilih penjara, pilihlah untuk duduk di rumah mematuhi arahan PKP agar kita tidak hilang segalanya,”.
Inilah saranan Menteri Muda Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail sewaktu mempengerusikan mesyuarat jawatan kuasa pengurusan bencana Daerah Lawas di Pejabat Daerah Lawas semalam.
Beliau yang juga ADUN Bukit Kota menjelaskan, penjawat awam yang melanggar arahan PKP bakal berdepan masalah hilang kelayakan mendapat wang pencen dan mungkin berdepan hukuman penjara atau denda.
Selain itu, beliau bersyukur kerana Daerah Lawas telah diwartakan sebagai kawasan hijau bersama Daerah Mukah.
Justeru beliau berharap dalam masa terdekat, Daerah Limbang juga akan diisytiharkan sebagai kawasan hijau sebaik bebas daripada sebarang kes positif Covid-19 bagi tempoh 28 hari.
Namun beliau memberi amaran, pertukaran taraf hijau bukan alasan untuk rakyat merasa selesa.
Sebaliknya beliau mahu agar semua pintu masuk ke dua daerah yang terdedah dengan pergerakan antara negara dan negeri itu terus memperketatkan kawalan di sempadan Daerah Limbang dan Lawas.
Menyentuh lanjut, Dr Abdul Rahman menyeru semua pihak untuk terus bekerjasama khususnya rakyat dalam memastikan rangkaian Covid-19 ini terus diputuskan.
Covid-19 merupakan suatu wabak baru yang boleh berulang menjangkiti pesakit Covid-19 itu sendiri yang mana berbeza dengan wabak lain dimana ketahanan antibodi badan mampu melawan balik.
Pada masa yang sama, Dr Abdul Rahman juga memberitahu bahawa, walaupun arahan PKP berakhir tetapi kelaziman baru akan berlaku dan rakyat akan lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga.
Justeru, landskap kelaziman baru akan mula mempengaruhi kehidupan manusia di muka bumi.
Hadir sama ialah Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan ketua-ketua jabatan kerajaan daripada agensi barisan hadapan Covid-19 di Daerah Lawas.
Dr Abdul Rahman turut mengagihkan sumbangan penutup hidung dan mulut untuk penduduk Daerah Lawas yang akan diuruskan oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum masing-masing.
Sejumlah 75 ribu diagihkan untuk penduduk di Bahagian Limbang.