“PATRIOTISM means to stand by the country. It does not mean to stand by the president or any other public official.”
Ungkapan di atas antara petikan kata-kata Theodore Roosevelt, atau dikenali dengan nama singkatan T.R., dan dalam kalangan masyarakat pula, lebih dikenali dengan Teddy, walaupun beliau sendiri tidak menyukai panggilan berkenaan. Beliau ialah Presiden Amerika Syarikat yang ke-26 (1901–1909), menggantikan Presiden William McKinley yang mati dibunuh. Pada usia 42 tahun, Roosevelt ialah Presiden Amerika Syarikat dari parti Republikan yang termuda.
Bukan biografi beliau yang ingin dibicarakan, akan tetapi inti pati petikan kata-kata yang beliau lontarkan di atas. Andai diterjemahkan dalam bahasa Melayu, petikan berkenaan berbunyi sebegini, ‘patriotisme bermaksud berdiri teguh di samping negara. Bukan bermaksud berdiri teguh di samping seseorang presiden atau pegawai awam’. Sememangnya takrif patriotisme bertaut rapat dengan semangat kebangsaan. Hal yang jika dirujuk kepada kamus jelas akan takrifannya iaitu perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Lantaran, individu atau orang yang mencintai dan mempertahankan kedaulatan serta maruahnya digelar sebagai patriot.
Dalam sejarah dunia, tercatit beberapa nama besar serta ternama yang diiktiraf sebagai patriot. Individu yang sanggup berjuang di samping bergadai nyawa untuk mempertahankan maruah serta kedaulatan negaranya. Namun demikian, dalam perkembangan dunia yang menyaksikan aras penentu kemandirian serta kegemilangan sesebuah negara ditaksirkan berlandaskan kemajuan sains dan teknologi, di samping perkembangan ekonomi yang memberangsangkan, nilai patriotisme dilihat semakin menipis. Bukannya tidak tertancap lagi semangat berkenaan dalam sanubari manusia, namun dari dari segi penghayatannya semakin cetek. Patriotisme hanya terpancar saat kedaulatan serta keselamatan negara terancam. Pun demikian juga halnya apabila berlaku pencerobohan kuasa-kuasa luar terhadap tanah air. Hal yang terpancar dalam peristiwa di Palestin dan baru-baru ini, Ukraine.
Dalam konteks semangat patriotik yang sejati, pelarasan pemikiran tertumpu tanpa berbelah bahagi kepada martabat dan maruah negara yang perlu dipertahan dan ditegakkan. Pelarasan pemikiran yang memutikkan tindak balas dari segi perlakuan sanggup berjuang bermati-matian, sama ada di medan perperangan mahupun lewat tindakan yang sering ditafsirkan sebagai ‘pendurhakaan’ atau ‘pemberontakan’ (rebellious act). Situasi yang amat ketara ketika zaman kesultanan dahulu, mahupun semasa era penjajahan. Hal yang pastinya kurang senang didengari akan tetapi terbukti berlaku sekiranya dikaji secara mendalam di samping fikiran yang terbuka tanpa sebarang prejudis. Hakikat yang seperti digambarkan oleh Voltaire, iaitu, ‘it is sad that often, to be a good patriot, one must be the enemy of the rest of mankind’.
Dalam konteks negeri Sarawak, sudah pasti nama seperti Allahyarham Rosli Dhoby atau mendiang Temenggong Datuk Kanang Langkau menjadi sebutan apabila soal patriotisme dibicarakan. Individu yang menjadi kebanggaan rakyat wilayah ini dari aspek semangat kebangsaan yang tinggi bagi mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara daripada dijajah dan dicerobohi ‘anasir’ luar. Namun demikian, terkesan akan garis pemisah antara kedua-dua tokoh berkenaan. Perbezaan dari segi ‘restu’ pihak ‘pemerintah’ semasa.
Dalam konteks Allayarham Rosli Dhoby, tindakan beliau menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949 dilihat sebagai perbuatan bersifat asasinat atau pembunuhan terancang walaupun hakikatnya tindakan berkenaan terbit daripada desakan untuk menuntut kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British. Rosli ditangkap di tempat kejadian dan dihantar ke Kuching untuk menghadapi perbicaraan dan kemudian dipenjarakan. Walaupun menderita akibat luka tusukan mendalam, Duncan Stewart dilaporkan meneruskan juga lawatannya sehingga darah mula meresap melalui seragam putihnya. Gabenor itu kemudiannya diterbangkan ke Kuching untuk rawatan dan kemudiannya ke Singapura iaitu tempat beliau meninggal seminggu selepas kejadian itu.
Walaupun tindakan Rosli Dhoby diterima dan diakui sebagai tindakan seorang patriot oleh sebilangan kecil daripada kalangan masyarakat, namun dari persepsi pihak penjajah, perbuatan berkenaan tidak lebih daripada suatu tindakan ‘pemberontakan’ yang pesalahnya wajar menerima hukuman setimpal dengan kesalahannya berdasarkan maksim terkemuka mereka, a life for a life. Lantaran itu, mewajarkan pelaksanaan hukuman gantung pada 2 Mac 1950. Turut sama dihukum gantung ialah Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong. Walaupun selepas 72 tahun hukuman tersebut dilaksanakan, masih terdapat unsur kekaburan tentang letak tempat persemadian sebenar dan malah jasad Allahyarham Rosli Dhoby.
Berbeza situasinya dengan mendiang Temenggong Datuk Kanang Langkau yang perjuangannya lebih ‘direstui’. Beliau memasuki perkhidmatan ketenteraan sebagai Penjejak Iban dalam Tentera British pada 21 April 1962, menghadiri Sekolah Peperangan Rimba di Ulu Tiram pada awal 1962 dan ditugaskan dalam pasukan Komando 42 yang berkhidmat semasa Pemberontakan Brunei dan semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia. Beliau kemudiannya berkhidmat dengan Rejimen Infantri Diraja New Zealand sebelum diserapkan ke Sarawak Rangers yang akhirnya diserapkan pula dalam Rejimen Diraja Tentera Malaysia apabila Malaysia diisytiharkan sebagai negara Persekutuan pada 16 September 1963.
Dalam operasi mengesan musuh di Hutan Rizab Korbu pada 1 Jun 1979, kumpulan Sarjan Kanang menemui kem pelarian musuh sementara. Sarjan Kanang yang pada masa itu mewakili Batalion ke-8 Royal Rangers segera melancarkan serangan ke atas kem musuh yang bilangan anggotanya jauh melebihi jumlah anggota pasukan Kanang. Dalam pertarungan sengit dengan musuh (komunis), dua anggota Rangers mengalami cedera parah serta lima anggota musuh terbunuh. Kelengkapan dan peralatan musuh juga berjaya dirampas. Kejayaan pertempuran itu membawa kepada penganugerahan penghormatan kedua tertinggi iaitu Pingat Gagah Berani (PGB) oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Walaupun pada permulaannya Kanang berkhidmat di bawah Tentera British, namun perjuangan menentang anasir komunis bagi mengekalkan keselamatan serta kedaulatan negara daripada dicerobohi dilihat sebagai suatu tindakan yang wajar. Hal yang tidak harus disanggah sama sekali. Malah, amat wajar sumbangan beliau diiktiraf dengan penganugerahan PGB.
Dua situasi yang berbeza latar masa dan latar ceritanya, akan tetapi selaras dari segi niat dan keazamannya. Namun, dari segi persepsi dan pentakrifan tindakan, masih bergayut unsur ‘ketidakpastian’ serta ‘kesangsian’ berdasarkan latar belakang pihak yang ditentang. Pada satu pihak, British yang dianggap serta disanjung sebagai unsur positif, kebaikan atau pelengkap manakala pada satu pihak, komunis yang dianggap sebagai unsur negatif, kejahatan atau pemisah. Tidak salah jika diandaikan bahawa aspek ‘keberhutangan’ terhadap segala apa yang ‘dihadirkan’ oleh pihak British semasa tempoh penjajahannya, membuatkan pengiktirafan Allahyarham Rosli Dhoby sukar untuk diperakui. Hal yang menjurus kepada ‘menjaga hubungan baik’ antara kerajaan.
Sememangnya benar dan sahih kata-kata Voltaire, iaitu, ‘it is sad that often, to be a good patriot, one must be the enemy of the rest of mankind’. Hal sedemikian terbukti apabila tidak timbul keraguan untuk mewujudkan Muzium Brooke, sedangkan masih berselimut ‘keraguan yang didakwa munasabah’ untuk menghargai patriot sebenar Bumi Kenyalang.
Lindungi diri, lundungi bangsa, lindungi negara!