KEJAYAAN Atlet Paralimpik angkat berat negara, Bonnie Bunyau Gustin pada Kejohanan Piala Dunia 11th Fazza Para Powerliffting di Dubai, Emiriah Arab Bersatu(UAE) baru-baru ini bakal memberi inspirasi kepada atlet lain untuk terus berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai impian mereka.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah memuji pencapaian atlet para angkat berat itu yang mana beliau telah berjaya memecahkan rekod dunia dalam kejohanan berkenaan.
“Pemain yang berusia 22 tahun dari Kanpung Ta’ee ini memulakan latihan di bawah jurulatih Jamil Adam sejak 2012 dalam Program Pembangunan Sarawak dalam sukan Orang Kurang Upaya (OKU) sebelum berpindah ke Kuala Lumpur bagi menyambung latihan peringkat lebih tinggi pada 2017.
“Dia (Bonnie) telah mengambil bahagian dalam banyak kejohanan seperti Asia Youth Para Games, ASEAN Para Games, Asia Para Games, Commonwealth Games, Para Powerlifting World Cups dan World Para Powerlifting Championship serta telah memenangi banyak pingat di sepanjang penyertaannya.
“Pencapaian ini akan memberi inspirasi kepada atlet lain dari Sarawak untuk terus berlatih dan berusaha demi mencapai impian mereka dengan memanfaatkan potensi secara maksimum serta berupaya menempuhi segala halangan dan cabaran,” katanya pada sidang media semalam.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada jurulatih para ‘powerlifting’, Jamil Adam yang juga berasal dari Sarawak atas komitmen, latihan dan tunjuk ajar yang telah diberi.
Katanya lagi, terdapat seramai 143 atlet telah menerima vaksinasi Covid-19 mereka minggu lalu di Pusat Perubatan Pakar Normah.
“Para atlet ini yang akan bertanding dalam Sukan Para Malaysia (SUKMA) di Johor tahun depan, dijadualkan menerima dos kedua pada 10 Julai nanti.
“Vaksinasi akan memberikan keyakinan, ketenangan jiwa dan jaminan kepada para atlet, pelatih dan anggota keluarga mereka. Ini juga akan membolehkan mereka mengikuti latihan berpusat, ”katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO