
JULAU: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor bergegas ke lokasi kejadian di Nanga Bulo, Julau, susulan laporan kejadian tanah susur berhampiran Rumah Minggu Buyi yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurut Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Tuai Rumah Minggu Buyi sekitar 6.36 petang semalam.
Beliau berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan serta penilaian awal terhadap keadaan tanah dan keselamatan kawasan sekitar.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati berlaku pergerakan tanah berhampiran kawasan penempatan yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggota bomba memasang sawar-sawar keselamatan dan menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada, terutama ketika hujan lebat berterusan.
“Langkah berjaga-jaga amat penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Kami menasihatkan penduduk agar sentiasa peka dengan perubahan tanah di sekitar rumah panjang, khususnya apabila hujan turun tanpa henti.
“Sekiranya terdapat tanda-tanda tanah susur semakin serius, segera hubungi agensi penyelamat untuk tindakan pantas,” katanya.
Tambahnya, pemantauan di lokasi tanah susur selesai sepenuhnya pada 9.44 malam.
Oleh Earl Anek