
KUCHING: Kedudukan kewangan Sarawak yang kukuh membolehkan lebih banyak projek pembangunan dan kemudahan awam dilaksanakan di seluruh negeri bagi meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang berkata, hasil negeri yang kini mencecah kira-kira RM14 bilion membolehkan Kerajaan Sarawak mempercepat pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi untuk manfaat rakyat.
Menurutnya, peruntukan tersebut digunakan bagi membina dan menaik taraf jalan raya, jambatan, sekolah, dewan masyarakat, sistem perparitan serta melaksanakan projek baik pulih rumah di samping menyediakan pelbagai kemudahan awam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Sarawak Merdeka di sini, hari ini.
Katanya, pembangunan pesat yang dilaksanakan kerajaan turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi negeri serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju pembangunan Sarawak.
Lo berkata, pencapaian itu adalah hasil kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan negeri.

Beliau berkata, kejayaan tersebut wajar dihargai oleh seluruh rakyat, khususnya ketika sambutan Hari Sarawak yang menjadi platform menghayati sejarah serta perkembangan pembangunan negeri.
Menurutnya, sambutan Hari Sarawak bukan sekadar memperingati sejarah, malah mengingatkan rakyat mengenai usaha berterusan kerajaan dalam membawa Sarawak ke arah sebuah negeri yang lebih maju, makmur dan berdaya saing.


