PENGGUNAAN bahasa rojak dalam iklan yang heboh seketika dahulu, sebenarnya masih berleluasa. Namun, keadaan semakin parah dengan penggunaan kerancuan bahasa yang berleluasa di media sosial. Menurut Kamus Dewan, perkataan ‘rancu’ bermaksud tidak teratur, bercampur aduk dan kacau (bahasa) manakala kerancuan bermaksud keadaan rancu atau kekeliruan penggunaanya.
Ada yang guna bahasa berdasarkan sebutan bukan ejaan standard, sekali gus terdedah kepada pembudayaan ‘algospeak’. Algospeak adalah istilah baharu untuk merujuk kepada satu set kod kata atau frasa digunakan oleh pengguna media sosial.Tujuannya untuk menghalang sistem penyederhanaan kandungan daripada disekat atau diturunkan oleh algoritma sesebuah laman sosial.
Algoritma adalah satu sistem atau aturan menetapkan kandungan yang akan ditampilkan pada halaman media sosial berdasarkan kecenderungan minat setiap pengguna. Malah ‘algospeak’ ini mungkin boleh membawa impak sama atau lebih parah apabila ia membabitkan perkataan yang memberi maksud baharu, tetapi berlainan daripada konteks asal.
Ada dua isu – penggunaan bahasa di media sosial dan bahasa di iklan.
Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diberi kuasa terutama dalam aspek penguatkuasaan kepada mana-mana pihak yang menggunakan kesalahan bahasa. Contoh pegawai penguatkuasa DBP boleh menurunkan mana-mana iklan yang penggunaan bahasa salah di kawasan tadbiran majlis bandaraya, majlis perbandaran dan majlis daerah. Lebih daripada itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu merujuk kepada DBP terlebih dahulu sebelum meluluskan sebarang pemasangan poster, iklan papan tanda dan sebagainya.
Masalahnya sekarang ialah DBP tiada kuasa itu. Sudah ada usaha sebelum ini untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 untuk memberi kuasa dalam aspek penguatkuasaan kepada agensi itu berkaitan kesalahan penggunaan bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, sejak pentadbiran Kerajaan Persekutuan bertukar tampuk pemerintahan, pindaan akta itu masih belum dimuktamadkan.
Usaha pindaan akta itu bermula sewaktu di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan. Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa draf pindaan Akta DBP 1959 antara lain mencadangkan denda tidak kurang RM50,000 atau hukuman penjara kepada individu yang tidak menghormati bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.
BERI DBP TARING
Menerusi pindaan Akta DBP 1959 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963, status DBP akan ditukar kepada pihak berkuasa bahasa, sekali gus memastikan agensi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu diberi taring untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan atau pengabaian bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sebelum ini, DBP pernah mengemukakan pindaan akta itu membabitkan tiga perkara utama. Ia bagi membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termasuk di pihak berkuasa tempatan (PBT). Selain itu, ia membabitkan pemberian kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan sebagai berkata bahawa usaha sedang dilakukan untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 yang dikatakan berupaya memberi ‘taring’ dan kuasa dalam aspek penguatkuasaan kepada agensi itu berkaitan kesalahan bahasa kebangsaan. Ia bagi membolehkan Rang Undang-Undang itu dapat dibentangkan di Parlimen secepat mungkin kerana kali terakhir Akta DBP 1959 dipinda pada 1995.
Ini dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain peruntukan RM50 juta kepada DBP. Dana diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 dan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan bertujuan merancakkan aktiviti bahasa dan kesusasteraan, terutama dalam kalangan anak muda.
Menurut Fadhlina pihaknya ketika ini tanpa berlengah lagi sedang berusaha keras untuk memastikan proses pindaan Akta DBP 1959 itu dapat diselesaikan, sebelum ia dibawa untuk dibentangkan di Parlimen.
“Ya kita sedang bekerja keras ke arah itu (pindaan Akta DBP 1959). Memang itu tanggungjawab yang diberikan kepada DBP. Ia bagi memastikan pindaan undang-undang itu (Akta DBP) dapat kita segerakan dan dapat kita bentangkan di Parlimen sesegera yang mungkin,” katanya.
Pada 22 Disember 2022, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, ketika itu berkata kelulusan pindaan Akta DBP 1959 yang sedang dalam semakan dijangka selesai sekitar awal 2023. Katanya, Perkara 152(6) memperuntukkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa awam. Dengan peruntukan itu, ia membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa berasaskan undang-undang, walaupun agensi itu sejak 1980-an sudah pun melaksanakan pengembangan bahasa serta persuratan Melayu di peringkat dunia.
PBT PERLU PEKA
Sebelum ini pun, Awang Sariyan pernah menyatakan hampir kesemua 150 PBT di seluruh negara dilihat tidak benar-benar mengutamakan bahasa Melayu malah ada yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan di bawah undang-undang kecil ditetapkan. Menurutnya, lebih malang DBP dipersalahkan apabila papan iklan, nama bangunan, kawasan perumahan dan bandar lebih mengutamakan nama asing berbanding bahasa Melayu.
“Masyarakat yang tidak memahami perkara tersebut akan beranggapan DBP perlu meruntuhkan papan iklan yang tidak menggunakan bahasa
kebangsaan dengan baik. DBP tidak boleh bertindak sedemikian kerana ia adalah di bawah bidang kuasa PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), majlis perbandaran dan majlis daerah. Ini badan yang diberi wibawa untuk memastikan bahasa kebangsaan itu diberi keutamaan seperti dalam undang-undang kecil periklanan.
“Tetapi menurut analisis DBP, daripada 150 PBT barangkali 10 yang agaknya ada keprihatinan terhadap dasar bahasa kebangsaan. Maka sebab itu, tempat awam penuh dengan bahasa asing. Begitu juga nama tempat, bangunan dan jalan. Mereka taksub kepada nama-nama hebat dari Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat dan sebagainya, serta diubah sesuka hati tanpa merujuk kepada PBT,” katanya.
Kemajuan sains dan teknologi pada masa ini pula telah banyak membawa perubahan yang pesat dalam perkembangan komunikasi. Arus teknologi ini telah membuka suatu dimensi baharu kepada masyarakat, terutamanya golongan remaja untuk berkomunikasi secara nyata atau di alam maya.
Penggunaan bahasa yang ringkas, pendek dan bersahaja dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) di media sosial seperti Facebook dan X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) sangat popular dalam masyarakat, terutamanya remaja. Golongan remaja dikatakan sedang mengalami ‘kegilaan’ berbahasa ringkas, pendek dan bersahaja. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, kata kegilaan bermaksud terlampau sangat suka (asyik).
Komunikasi SMS pertama berlaku pada 3 Disember 1992. Pada waktu itu, Neil Papworth, juruteknik dari Norway, menghantar mesej Selamat Hari Natal kepada rakannya, Richard Jarvis, yang bekerja di syarikat perkhidmatan GSM Vodafone. Kini, penggunaan bahasa SMS dan What’Apps melalui komunikasi telefon bimbit telah berkembang kepada semua komunikasi lain. Contohnya, e-mel, blog dan forum komuniti, selain laman sosial seperti Facebook dan X.
Julai lalu, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan juga Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata generasi muda terutama pelajar perlu menggunakan bahasa Melayu dengan betul dalam kehidupan seharian dan jangan sesekali terpengaruh dengan bahasa di media sosial. Katanya, bahasa campur atau rojak yang banyak digunakan di media sosial akan merosakkan bahasa Melayu.
“Para pelajar perlu menggunakan bahasa Melayu yang betul tidak kira ketika mengikuti pengajian di sekolah mahupun dalam perbualan seharian. Pastikan bahasa Melayu itu tidak dicampur aduk dengan bahasa asing sehingga merosakkannya.
“Kita semua perlu mempunyai sifat ‘megah bahasa’ terhadap bahasa Melayu. Hal ini amat penting disebabkan jika elemen bahasa kebangsaan yang menjadi ‘tiang seri’ bagi negara kita musnah, maka usaha kita untuk bersama-sama membina Malaysia sebagai negara bangsa yang progresif akan menemui kegagalan,” katanya.
Hendak menangkap ikan siakap,
Masuk jala ikan sepat;
Gunakan bahasamu secara kerap,
Lambat laun bertambah tepat.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.