Kecederaan Gomez cemari permulaan era Iraola di Liverpool

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LONDON: Andoni Iraola menyifatkan kecederaan yang dialami Joe Gomez sebagai “berita paling buruk” pada permulaan tugasnya selaku pengendali baharu Liverpool.

Iraola mengendalikan perlawanan pertamanya sejak menyertai Liverpool dari Bournemouth pada jendela perpindahan musim panas bagi menggantikan Arne Slot yang dipecat.

Jurulatih dari Sepanyol itu menyaksikan jaringan Kieran Morrison, Dominik Szoboszlai, Federico Chiesa dan Lewis Koumas membantu Liverpool mencatat kemenangan 4-2 ke atas Sunderland pada aksi pembukaan jelajah pramusim mereka di Amerika Syarikat (AS) di Nashville, Sabtu lalu.

Namun, Gomez yang diturunkan sebagai pertahanan tengah dan menggalas tugas kapten pasukan terpaksa dikeluarkan seawal minit kelapan akibat kecederaan.

Kecederaan awal Gomez menambahkan lagi masalah di bahagian pertahanan Liverpool apabila pemain baharu Jeremy Jacquet masih dalam proses mendapatkan semula kecergasan selepas mengalami kecederaan, manakala Giovanni Leoni pula masih dalam fasa pemulihan selepas berehat panjang.

Awal minggu ini, Iraola mengakui skuad kendaliannya ketika ini “sangat kekurangan” pilihan di bahagian pertahanan.

“Barangkali berita paling buruk ialah kecederaan Joe sejurus perlawanan bermula,” kata Iraola.

“Kami gembira kerana berjaya mengharungi sesi latihan tanpa kehilangan mana-mana pemain. Malangnya, kami terus kehilangan Joe.

“Bagi Jeremy, kami memilih untuk tidak tergesa-gesa. Dia sudah beberapa bulan tidak beraksi akibat kecederaan bahu.

“Jadi, kami akan mengambil pendekatan berhati-hati. Kemungkinan dia hanya akan diturunkan pada perlawanan terakhir jelajah AS ini dan mempunyai masa untuk mendapatkan semula minit permainan.

“Walaupun dihimpit masalah kecederaan, Iraola berharap kemenangan itu menjadi asas kepada peningkatan prestasi Liverpool menjelang aksi menentang Wrexham di New York dan Leeds United di Chicago.

“Banyak perkara yang perlu diperbaiki. Ini perlawanan pertama dan anda dapat melihat pemain masih terasa kepenatan selepas menjalani latihan.

“Justeru, kami sedikit kekurangan kesegaran, namun kemenangan ini memberikan titik permulaan yang baik untuk terus memperbaiki pasukan,” katanya.

Virgil van Dijk diberikan tempoh rehat tambahan selepas bersama Belanda mengharungi kempen Piala Dunia.

Bagaimanapun, Iraola mengesahkan Alexander Isak, Florian Wirtz dan Ryan Gravenberch sudah berada di Chicago selepas selesai tempoh rehat pasca Piala Dunia dan dijangka kembali menyertai latihan bersama skuad dalam masa terdekat.