SIBURAN: Kebakaran berlaku di tingkat tiga Kedai Perabot Alladin di Unaco Park, di sini petang ini, namun berjaya dipadamkan pekerja kedai menggunakan alat pemadam api.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.30 petang.
“Setibanya di lokasi pada 4.37 petang, pasukan bomba mendapati kebakaran berlaku di tingkat tiga bangunan berkenaan.

“Kebakaran telah dipadamkan oleh pekerja kedai menggunakan alat pemadam api dengan anggaran 10 peratus kawasan terjejas,” kata Komander Operasi, PBK II Edi Buang dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan kemudian menjalankan kerja pengudaraan bagi mengeluarkan asap dari bangunan.
“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal, anggota bersama jentera bertolak balik ke balai dan operasi tamat pada 5.10 petang,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian.




