Kebakaran hutan Kampung Kut: 10 hektar masih terbakar selepas lima hari

Facebook
WhatsApp
OPERASI MEMADAM.....Kebakaran hutan di Kampung Kut memasuki hari kelima, hari ini.

DARO: Api yang marak selama lima hari membakar hutan di Kampung Kut terus mencabar pasukan bomba apabila kebakaran yang keseluruhannya meliputi 28 hektar masih berbaki 10 hektar untuk dipadam.

Kebakaran yang bermula dari sebuah kebun itu merebak ke kawasan berhampiran Sungai Batang Lassa serta menghala ke stesen minyak menyebabkan pasukan bomba bersama agensi berkaitan memperhebatkan usaha memutuskan kemerebakan api.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memberitahu, pemantauan menggunakan dron dan pengiraan keluasan melalui Google Earth mendapati keseluruhan kawasan yang terjejas dianggarkan seluas 28 hektar.

Menurutnya, sekitar 18 hektar berjaya dipadamkan pada operasi hari kelima, manakala baki 10 hektar masih memerlukan tindakan pemadaman.

OPERASI HARI KELIMA… Anggota bomba menjalankan kerja pemadaman kebakaran hutan di Kampung Kut, Daro, yang keseluruhannya membabitkan kawasan seluas sekitar 28 hektar.

“Setibanya di lokasi, hasil size up mendapati kebakaran yang bermula dari sebuah kebun telah merebak ke kawasan menghampiri Sungai Batang Lassa dan juga menghala ke stesen minyak. 

“Pemantauan menggunakan dron turut dijalankan bagi mengenal pasti keluasan kawasan kebakaran,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Beliau memberitahu, operasi dibahagikan kepada dua sektor dengan kerja mendirikan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di hadapan stesen minyak.

Katanya, di Sektor A, anggota membentangkan dua aliran menggunakan empat gulung hos pam hutan (Forest Pump) sepanjang sekitar300 kaki, dengan sumber air diperoleh dari parit berhampiran jalan utama bagi membina jalur pemisah api (fire break) untuk menghalang api daripada terus merebak.

USAHA PEMADAMAN… Anggota bomba menggunakan pam hutan bagi menjalankan operasi pemadaman kebakaran di Kampung Kut, Daro, yang masih berbaki sekitar 10 hektar untuk dipadam.

“Di Sektor B pula, anggota menjalankan kerja pemadaman di sebelah stesen minyak menggunakan pam air,” katanya.

Pada 9.55 pagi, sebuah jengkaut daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tiba bagi menggali kolam air serta membuat parit di tepi jalan untuk mendapatkan sumber air.

Sebuah lagi jengkaut milik pihak swasta tiba pada 11.09 pagi bagi membantu kerja pemadaman, selain membuat fire break dan menggali beberapa kolam untuk mendapatkan sumber air.

Operasi kemudian ditangguhkan pada 6.00 petang selepas dipersetujui semua agensi berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap dan faktor keselamatan di kawasan operasi.

Operasi akan disambung semula esok.

Operasi dengan kekuatan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro menggunakan sebuah CFRT dan dua kenderaan pacuan empat roda.

Turut membantu, PBS Daro, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sibu, Natural Resources and Environment Board (NREB) Mukah, Polis Daro, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daro, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro, Pejabat Daerah serta ketua kampung dan penghulu Kampung Kut.

Antara cabaran operasi ialah cuaca panas dan kering yang menyebabkan api cepat merebak, kekurangan sumber air, akses jalan yang sempit serta liputan sistem komunikasi GIRN yang kurang memuaskan. Operasi memadam kebakaran hutan di Kampung Kut itu kini memasuki hari kelima.

Oleh Akun Giman