MOSCOW: Kebakaran hutan memusnahkan 1,700 hektar tanah di Daerah Pentadbiran Var, tenggara Perancis, sekali gus memaksa ratusan penduduk dipindahkan selain menyebabkan 2,300 isi rumah terputus bekalan elektrik, menurut pihak berkuasa wilayah itu pada Rabu.
“Setakat malam tadi, kebakaran itu telah memusnahkan kawasan seluas 1,700 hektar,” menurut kenyataan pihak berkuasa wilayah itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Kira-kira 400 penduduk telah dipindahkan dari komun Ponteves, Cotignac, Sillans-la-Cascade, Correns dan Montfort-sur-Argens. Sebanyak 2,300 isi rumah, terutamanya di Cotignac, terputus bekalan elektrik.
Kira-kira 900 anggota bomba, termasuk dari daerah pentadbiran lain, bersama 350 kenderaan serta 60 anggota gendarmerie telah dikerahkan bagi memadamkan kebakaran itu, menurut kenyataan berkenaan.
Perancis berdepan kebakaran hutan ketika negara itu dilanda cuaca panas ekstrem. Presiden Emmanuel Macron berkata Perancis mengalami jumlah kebakaran hutan tertinggi pada musim panas tahun ini sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Pada akhir Jun, agensi meteorologi mengeluarkan amaran tertinggi di 72 daripada 96 daerah pentadbiran di negara itu, sekali gus mencatatkan rekod baharu apabila suhu menghampiri 40 darjah Celsius, malah melebihi paras itu di beberapa kawasan.- Bernama-Sputnik/Ria Novosti





