Kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga, 60 hektar berjaya dipadam

Facebook
WhatsApp
OPERASI pemadaman kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman memasuki hari kelima hari ini dengan kira-kira 60 hektar daripada keseluruhan 80 hektar kawasan terbakar berjaya dipadamkan. Foto PGO Bomba Sarawak

SIMANGGANG: Operasi pemadaman kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman memasuki hari kelima hari ini dengan kira-kira 60 hektar daripada keseluruhan 80 hektar kawasan terbakar berjaya dipadamkan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, operasi hari ini melibatkan 18 anggota bomba yang menjalankan pemadaman secara berperingkat bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Pasukan bomba bertolak ke lokasi pada 7.30 pagi sebelum tiba tujuh minit kemudian, diikuti taklimat serta pembahagian anggota kepada empat kumpulan bagi menjalankan operasi pemadaman di beberapa sektor kebakaran.

Operasi bermula 8.00 pagi dengan penggunaan pam GP 10/10 dan pam forest fire yang mendapatkan sumber air terbuka bagi membentang aliran hos sehingga 300 kaki untuk kerja pemadaman serta pembinaan ‘fire break’.

Menurut PGO JBPM Sarawak, tiga pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut berada di lokasi pada 9.30 pagi dengan membawa sebuah dron bagi membantu pemantauan kawasan kebakaran dari udara.

Operasi dihentikan sementara pada 12.30 tengah hari sebelum disambung semula pada 1.30 petang bagi meneruskan usaha memadam kebakaran di sektor yang masih terjejas.

Pada 1.40 petang, keadaan di sektor tiga dilaporkan terkawal, membolehkan lima anggota bersama sebuah pam GP 10/10 dipindahkan ke sektor satu bagi membantu pasukan lain membina ‘fire break’ dan menghalang api daripada merebak.

Sehingga operasi ditangguhkan pada 6.00 petang, sebanyak 60 hektar kawasan berjaya dipadamkan, manakala kira-kira 20 hektar lagi masih berbaki untuk tindakan pemadaman pada hari berikutnya.

Operasi berdepan beberapa cabaran termasuk kekurangan sumber air terbuka seperti parit, tiupan angin kencang yang menyebabkan api mudah merebak serta keadaan jalan yang sempit dan menyukarkan pergerakan jentera.

Selain JBPM, operasi turut disertai lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lima anggota Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dengan empat buah jengkaut, tiga pekerja ladang serta tiga pegawai JAS.

Operasi ditangguhkan pada 6.00 petang dan akan disambung semula esok, dengan pasukan bomba bersama agensi berkaitan terus memberi tumpuan kepada baki kawasan kebakaran bagi memastikan api dapat dikawal sepenuhnya.

Oleh Adi Safarman