KOLKATA, India: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut dan beberapa lagi cedera dalam kebakaran di sebuah hotel di bandar Kolkata, menurut seorang pegawai kanan jabatan bomba.
“Seramai sembilan orang maut, termasuk seorang kanak-kanak, dalam kebakaran yang berlaku awal pagi Rabu,” kata Pengarah Perkhidmatan Bomba negeri Bengal Barat, Anuj Sharma kepada AFP.
“Asap tebal menyelubungi hotel. Sebahagian mangsa ditemui di dalam bilik mandi.”
Maklumat awal menunjukkan penghawa dingin di hotel bajet berkenaan mungkin meletup dan menyebabkan kebakaran itu, kata Sharma.
Beliau berkata sembilan orang, enam lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital.
Sebahagian mangsa dipercayai merupakan warga Bangladesh yang datang ke Kolkata untuk mendapatkan rawatan perubatan, kata Santosh Pathak, anggota parti pemerintah Bengal Barat.
“Kami sedang berusaha mengesahkan kewarganegaraan mangsa,” katanya kepada pemberita.
Seramai 60 tetamu berada di hotel berkenaan ketika kebakaran berlaku.
Kebakaran bangunan sering berlaku di India berikutan kekurangan peralatan memadam kebakaran serta kegagalan mematuhi peraturan keselamatan secara berkala. – AFP





