
NEW DELHI: Satu kebakaran tercetus di sebuah kilang mercun di selatan India hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dan mencederakan enam yang lain, menurut polis.
Ketua polis tempatan, N. Shreenatha, berkata 20 orang disahkan maut susulan kejadian di sebuah kilang berlesen di daerah Virudhunagar, negeri Tamil Nadu.
Beliau berkata operasi menyelamat masih dijalankan di lokasi kejadian dan menambah bahawa punca kebakaran masih belum dikenal pasti.
Kemalangan industri kerap berlaku di India, lazimnya disebabkan pematuhan terhadap peraturan keselamatan yang lemah serta penguatkuasaan yang tidak tegas.
Perdana Menteri Narendra Modi, dalam satu hantaran di media sosial, menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dalam insiden yang disifatkan sebagai amat menyedihkan.
Ketua Menteri Tamil Nadu, M.K. Stalin, menyifatkan kejadian itu sebagai tragis dan meluahkan dukacita yang mendalam menerusi hantaran di media sosial X.
Awal minggu ini, satu letupan di loji janakuasa di tengah India mengorbankan lebih 20 orang.
Bulan lalu, satu lagi kebakaran di kilang bunga api di barat India meragut 17 nyawa. – AFP