“Keadaannya sukar”- Yudho Shekti, 767 anggota dikerah tangani kebakaran hutan di Kalimantan

Facebook
WhatsApp
A helicopter drops water on burning forests and land in the Petuk Katimpun area, Palangkaraya, in Indonesia's Central Kalimantan province, on August 13, 2026. (Photo by REINA / AFP)

JAKARTA, Indonesia: Jerebu tebal menyelubungi sebahagian kawasan Kalimantan yang menjadi habitat hutan hujan asli serta kawasan ladang yang luas, namun keadaan dijangka bertambah buruk, menurut pegawai dan pakar semalam.

Hampir 95,000 hektar kawasan tanah di seluruh Indonesia terbakar pada Julai sahaja, menurut kerajaan minggu ini, susulan keadaan kering yang didorong fenomena cuaca El Niño yang kuat.

Kebakaran itu menghasilkan jerebu tebal yang menyelubungi kawasan seperti Palangkaraya, ibu negeri Kalimantan Tengah di Borneo.

PEMANDU kenderaan memasang lampu hadapan ketika melalui jalan yang diselubungi jerebu di bandar Palangkaraya, Kalimantan Tengah, pada 20 Ogos 2026, apabila asap daripada kebakaran hutan dan tanah secara meluas mengurangkan jarak penglihatan serta menjejaskan kualiti udara di seluruh wilayah berkenaan. Kerajaan Indonesia memaklumkan lebih 100,000 hektar kawasan terbakar pada separuh pertama tahun ini. Foto AFP

“Keadaannya sukar,” kata pegawai Kementerian Perhutanan, Yudho Shekti Mustiko, sambil menambah bahawa kesemua 767 anggota kementeriannya di seluruh Borneo dikerahkan bagi menangani kebakaran.

“Tiada pegawai yang berada dalam keadaan bersiap sedia di pejabat,” katanya kepada AFP.

Kerajaan minggu ini memaklumkan kebakaran telah memusnahkan lebih 200,000 hektar kawasan sejak awal tahun, iaitu kawasan kira-kira tiga kali ganda saiz Jakarta yang luas.

Namun, musim kebakaran baharu sahaja bermula.

“Kita perlu mengekalkan stamina kerana September dan Oktober dijangka sangat kering,” kata Yudho.

Kawasan yang terbakar setakat ini sudah melebihi jumlah kebakaran ketika fenomena El Niño sebelum ini pada 2019 dan 2023, namun masih belum menyamai kemusnahan besar pada 2015 ketika El Niño berlaku dengan lebih kuat.

POKOK kelihatan sebagai bayangan di sebalik jalan yang diselubungi jerebu di bandar Palangkaraya, Kalimantan Tengah, pada 20 Ogos 2026, apabila asap daripada kebakaran hutan dan tanah secara meluas mengurangkan jarak penglihatan serta menjejaskan kualiti udara di seluruh wilayah berkenaan. Kerajaan Indonesia memaklumkan lebih 100,000 hektar kawasan terbakar pada separuh pertama tahun ini. Foto AFP

Kebakaran pada 2015 memusnahkan jutaan hektar kawasan hutan dan mencetuskan krisis jerebu serantau.

Empat Dekad Penebangan Hutan

Kebakaran tahun ini telah menyebabkan asap merebak ke Sarawak, dengan enam kawasan merekodkan bacaan kualiti udara “tidak sihat” dan penduduk dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar.

Di Palangkaraya, datuk bandar menasihatkan penduduk memakai pelitup muka dan kekal berada di dalam rumah.

Pemandu yang keluar berdepan keadaan berjerebu berwarna perang yang mengurangkan jarak penglihatan.

Anggota bomba sukarela dikerahkan, malah ada antara mereka terpaksa memadamkan api secara manual menggunakan dahan pokok ketika berdepan kesukaran bernafas.

“Ia sememangnya sukar,” kata Deni, seorang anggota bomba sukarela, pada Rabu.

“Terutamanya pernafasan saya tidak mampu bertahan lama. Biasanya saya perlu berehat selama lima minit sebelum kembali turun untuk meneruskan usaha memadamkan api.”

GAMBAR yang dirakam pada 11 Ogos 2026 menunjukkan bayangan seorang penduduk tempatan ketika cuba memadamkan kebakaran hutan di Palangkaraya, Kalimantan Tengah. Foto AFP

Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni, memberitahu pemberita di Palangkaraya pada Rabu bahawa pakar bersedia menjalankan operasi pembenihan awan bagi mengawal kebakaran dan mencegah kejadian baharu.

“Sekiranya terdapat walaupun sedikit tanda awan yang sesuai untuk pembenihan dan operasi itu boleh dilaksanakan dari sudut teknikal, kita akan menjalankan operasi pengubahsuaian cuaca,” katanya.

Pembenihan awan melibatkan penyemburan zarah seperti iodida perak, garam atau bahan lain ke dalam awan bagi mencetuskan hujan, namun kaedah itu memerlukan kewujudan awan yang sesuai.

El Niño ialah fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan perubahan corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia, lazimnya mengakibatkan keadaan kemarau di Indonesia.

Pakar turut menegaskan faktor manusia menyumbang kepada kebakaran yang berlaku di Indonesia.

“Skala kebakaran yang berlaku hari ini juga merupakan kesan daripada empat dekad penebangan hutan yang telah mengubah kawasan luas menjadi landskap terdegradasi dan mudah terbakar,” kata David Gaveau, pengasas laman pemantauan penebangan hutan Nusantara Atlas.

“Hanya hujan dapat menghentikan kebakaran ini, namun keadaan itu tidak dijangka berlaku sebelum November,” katanya kepada AFP.