DALAM sebuah kajian oleh Hitachi dan University Tokyo (2018) telah menjelaskan mengenai Industri 4.0 dan Masyarakat 5.0. Industri 4.0 dan Masyarakat 5.0 merupakan dua konsep yang muncul daripada revolusi teknologi berasaskan kemajuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), dan analitik data besar (Big Data).
Kedua-dua konsep ini masing-masing diperkenalkan oleh kerajaan Jerman danJepun, sebagai strategi untuk menghadapi perubahan teknologi global dan keperluan masyarakat masa kini. Walaupun terdapat persamaan dari segi penggunaan teknologi dan pendekatan berpusatkan inovasi, Industri 4.0 dan Masyarakat 5.0 berbeza dari segi fokus, skop, pengukuran kejayaan, kesan kepada masyarakat, serta cara kerjasama antara pelbagai sektor dilaksanakan.
Fokus dan tujuan utama
Perbezaan utama antara kedua-dua konsep ini terletak pada fokus dan tujuan utamanya. Industri 4.0 menumpukan perhatian kepada pembangunan kilang pintar, iaitu teknologi seperti IoT dan AI digunakan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam proses pembuatan. Tujuan utama Industri 4.0 adalah untuk mencipta nilai baru dalam sektor perindustrian dan mengurangkan kos pengeluaran. Dengan menggunakan teknologi digital dan automasi, Industri 4.0 berusaha untuk mengoptimumkan proses pembuatan dengan lebih efisien dan efektif. Pendekatan ini menekankan revolusi dalam persekitaran perkilangan dan industri sahaja.
Sebaliknya, Masyarakat 5.0 memiliki skop yang lebih luas dan bertujuan untuk mewujudkan sebuah masyarakat super pintar yang berpusatkan manusia. Masyarakat 5.0 bukan hanya tertumpu pada industri pembuatan, tetapi juga berusaha untuk mengimbangkan kemajuan ekonomi dengan penyelesaian masalah sosial. Konsep ini melihat teknologi sebagai alat yang boleh digunakan untuk memenuhi pelbagai keperluan manusia, merentasi pelbagai bidang seperti kesihatan, pendidikan, dan kehidupan sosial. Dalam erti kata lain, Masyarakat 5.0 menekankan penggunaan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhan.
Pendekatan dan skop
Dari segi skop penggunaan teknologi, Industri 4.0 lebih tertumpu kepada penggunaan sistem siber-fizikal (CPS) dalam sektor pembuatan. CPS dalam konteks ini digunakan untuk menghubungkan sistem fizikal dengan dunia digital bagi memantau dan mengawal proses pengeluaran di kilang-kilang. Industri 4.0 bertujuan untuk mencipta kilang-kilang pintar yang mampu menguruskan dan mengoptimumkan proses pembuatan secara automatik dengan bantuan teknologi AI dan IoT.
Sebaliknya, Masyarakat 5.0 mengagaska bahawa CPS harus diterapkan secara meluas di seluruh masyarakat, bukan hanya dalam sektor pembuatan. Teknologi ini digunakan untuk mengintegrasikan ruang siber dan ruang fizikal dalam kehidupan seharian, membolehkan setiap aspek masyarakat mendapat manfaat daripada inovasi teknologi. Skop Masyarakat 5.0 melibatkan semua lapisan masyarakat, dan bukannya terhad kepada industri tertentu sahaja. Penggunaan teknologi bertujuan untuk memenuhi pelbagai keperluan individu, tidak kira umur, jantina, atau lokasi geografi.
Pengukuran hasil dan kejayaan
Perbezaan ketara antara Industri 4.0 dan Masyarakat 5.0 juga dapat dilihat dalam pengukuran kejayaan kedua-dua konsep ini. Industri 4.0 lebih mudah diukur melalui metrik prestasi yang jelas seperti pengurangan kos pengeluaran dan peningkatan nilai ekonomi dalam sektor perindustrian. Fokusnya adalah kepada hasil yang konkrit, praktikal, dan boleh diukur dengan jelas. Sebagai contoh, kejayaan Industri 4.0 boleh dinilai melalui peningkatan produktiviti di kilang-kilang, pengurangan kos operasi, dan kecekapan lebih tinggi dalam proses pengeluaran.
Sebaliknya, Masyarakat 5.0 mempunyai metrik kejayaan yang lebih kompleks, kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi tetapi juga peningkatan kesejahteraan sosial. Kejayaan Masyarakat 5.0 diukur berdasarkan sejauh mana masyarakat dapat menggabungkan kemajuan ekonomi dengan penyelesaian masalah sosial. Misalnya, kejayaan Masyarakat 5.0 dapat dilihat apabila teknologi digunakan untuk memberi barangan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat tanpa mengira lokasi, jantina, atau umur, serta bagaimana teknologi dapat memastikan kehidupan berkualiti bagi setiap warganegara. Metrik ini lebih holistik dan sukar diukur secara kuantitatif, kerana ia melibatkan keseimbangan antara pelbagai faktor sosial dan ekonomi.
Kesan terhadap masyarakat
Industri 4.0 lebih menumpukan perhatian kepada revolusi industri dan perubahan dalam sektor pembuatan. Fokus utamanya adalah untuk mencipta nilai ekonomi dalam konteks industri, dan kurang memberi perhatian kepada kesan langsung teknologi kepada orang awam atau masyarakat umum. Walaupun teknologi ini dapat meningkatkan produktiviti dan mewujudkan peluang pekerjaan baru, kesannya terhadap kesejahteraan masyarakat tidak banyak dibincangkan dalam visi Industri 4.0.
Sebaliknya, Masyarakat 5.0 sangat menekankan kesan teknologi terhadap masyarakat dan bagaimana ia boleh digunakan untuk mencipta masyarakat yang lebih baik. Masyarakat 5.0 berusaha untuk membina sebuah masyarakat yang berpusatkan manusia, dengan aspek teknologi tidak hanya digunakan untuk keuntungan ekonomi, tetapi juga untuk menyelesaikan masalah sosial. Visi ini merangkumi penciptaan sebuah masyarakat yang inklusif dan responsif terhadap keperluan pelbagai lapisan masyarakat. Dalam konteks Masyarakat 5.0, teknologi dilihat sebagai alat untuk meningkatkan kehidupan harian individu, memastikan setiap warganegara mendapat akses kepada teknologi yang dapat memperbaiki kesejahteraan mereka secara menyeluruh.
Kerjasama antara sektor
Walaupun kedua-dua konsep melibatkan kerjasama antara industri, akademia, dan sektor kerajaan, peranan teknologi dalam konteks ini berbeza. Industri 4.0 dipacu oleh pendekatan atas ke bawah yang kerajaan dan industri bekerjasama untuk meningkatkan inovasi teknologi dalam sektor pembuatan. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan industri perkilangan dapat terus berdaya saing dalam ekonomi global melalui penggunaan teknologi automasi dan digitalisasi.
Sebaliknya, Masyarakat 5.0 juga melibatkan pendekatan kerjasama antara sektor-sektor utama, tetapi dengan skop yang lebih meluas. Visi ini menekankan kepentingan kolaborasi antara sektor kerajaan, akademik, dan industri untuk mencipta masyarakat inklusif yang dapat memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat. Kerjasama dalam Masyarakat 5.0 bukan hanya bertujuan untuk meningkatkan daya saing ekonomi, tetapi juga untuk membina masyarakat yang lebih harmoni dan aspek teknologi digunakan untuk menangani pelbagai cabaran sosial.
Berdasarkan hubungan dan saling kait antara satu sama lain, ternyata Industri 4.0 dan Masyarakat 5.0 mempunyai beberapa persamaan dari segi penggunaan teknologi dan pendekatan kerjasama antara sektor kerajaan, akademik, dan industri. Namun, fokus dan skop kedua-dua konsep ini sangat berbeza. Industri 4.0 lebih tertumpu kepada revolusi industri dalam konteks pembuatan, manakala Masyarakat 5.0 memberikan tumpuan kepada kesejahteraan sosial dan peningkatan kualiti hidup masyarakat secara menyeluruh. Dalam erti kata lain, Industri 4.0 lebih berorientasikan industri, manakala Masyarakat 5.0 lebih berpusatkan manusia dan bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan kesejahteraan sosial.
Maka, setiap negara di Asia Tenggara kini berlumba-lumba mengejar perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan ini membawa perubahan besar dalam sektor pendidikan, khususnya dalam konteks Masyarakat 5.0. Dalam konteks ini, Masyarakat 5.0 adalah satu paradigma baru apabila teknologi canggih digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup manusia, termasuk dalam bidang pendidikan. Melalui penerapan teknologi seperti AI, big data, dan IoT, Masyarakat 5.0 berusaha untuk menyediakan penyelesaian yang berpusat kepada manusia dalam menangani cabaran sosioekonomi.
Bagi negara-negara di Asia Tenggara, penerapan teknologi dalam pelbagai aspek membuka peluang besar untuk memperkayakan kandungan pengajaran, meningkatkan kualiti pendidikan, dan melestarikan warisan budaya yang semakin terancam.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).