
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku pertama 2026 berdasarkan anggaran awal, mencerminkan asas ekonomi yang kekal berdaya tahan meskipun berdepan peningkatan ketidaktentuan global, khususnya kenaikan harga minyak susulan ketegangan geopolitik, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pembuatan mengekalkan momentum positif dalam dua bulan pertama 2026, dengan pengeluaran berkembang masing-masing sebanyak 7.3 peratus dan 4.2 peratus, didorong terutamanya oleh industri berorientasikan eksport.
Beliau berkata perbelanjaan bermusim sempena Tahun Baharu Cina, selain persiapan menghadapi Ramadan dan Aidilfitri, terus menyokong aktiviti ekonomi secara keseluruhan.
“Faktor ini, seiring penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelaksanaan fasa kedua pelarasan gaji penjawat awam, menyumbang kepada pertumbuhan stabil dalam jualan perdagangan pengedaran, yang meningkat sebanyak 7.3 peratus pada Januari dan 5.3 peratus pada Februari 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dari sudut luaran, beliau berkata aktiviti perdagangan kekal disokong oleh pengembangan berterusan dalam kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.
Prestasi sektoral pada suku tahun pertama 2026 pula memperlihatkan momentum pertumbuhan ekonomi yang menyederhana merentas lima sektor utama.
Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu pertumbuhan KDNK secara keseluruhan dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus (suku keempat 2025: 6.3 peratus).
“Prestasi sektor ini didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, mencerminkan perbelanjaan pengguna yang kekal mampan, disokong oleh pasaran buruh yang stabil, peningkatan pendapatan isi rumah, serta pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan rakyat yang merangsang aktiviti isi rumah,” kata beliau.
Sementara itu, subsektor maklumat dan komunikasi turut menyumbang kepada prestasi pada suku tahun ini yang disokong oleh peningkatan permintaan terhadap aktiviti berkaitan pusat data dan kecerdasan buatan.
Sektor pembuatan turut merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus (suku keempat 2025: 6.1 peratus), disokong sebahagian besarnya oleh peningkatan kukuh dalam pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal, serta produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan dan pemprosesan makanan.
Mohd Uzir berkata sektor pembinaan turut merekodkan pertumbuhan sebanyak 7.8 peratus pada suku pertama 2026 (suku keempat 2025: 11 peratus), disokong terutamanya oleh aktiviti pembinaan pertukangan khas serta bangunan bukan kediaman.
Sementara itu, sektor pertanian berkembang sebanyak 2.8 peratus (suku keempat 2025: 5.4 peratus), didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor kelapa sawit dan ternakan.
Sektor perlombongan dan pengkuarian pula merosot kepada negatif 1.1 peratus berbanding pertumbuhan 2.0 peratus pada suku sebelumnya, sejajar dengan pengeluaran yang lebih rendah, khususnya minyak mentah dan kondensat serta gas asli.
Susulan anggaran awal ini, data KDNK awal yang menyediakan analisis lebih terperinci dan menyeluruh bagi prestasi ekonomi suku pertama 2026 akan dikeluarkan pada 15 Mei, 2026, katanya. – Bernama