NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Susulan beberapa cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menceroboh masuk perairan Malaysia sejak kebelakangan ini, Maritim Negeri Sarawak bersama-sama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) mewujudkan kerjasama memperkukuhkan benteng sempadan perairan negara khasnya di kawasan perairan Tanjung Datu.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, operasi bersepadu yang dilaksanakan itu bukan sahaja bagi mengekang kemasukan warga asing secara haram ke Sarawak, tetapi juga sebagai langkah pencegahan kepada jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan barang terkawal, penyeludupan senjata dan penyeludupan dadah serta bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Ops Benteng diaktifkan pada 12 Mei 2020 di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi mandat untuk menyelaras operasi kawalan persempadanan negara.
“Pasukan itu turut mendapat kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Sukarelawan Malaysia.
“Jalinan kerjasama antara beberapa agensi ini juga merupakan inisiatif kerajaan bagi memperkasa dan mengoptimumkan penggunaan aset kerajaan dalam mengawal perairan negara.
“Walaupun jenayah melalui jalan air antara sempadan Sarawak dan Indonesia boleh dikategorikan dalam peratusan yang rendah, tetapi kami sebagai penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga perairan negara sentiasa mengambil langkah pencegahan ,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, Maritim Negeri Sarawak menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada sebuah keluarga yang ditimpa musibah apabila rumah di Kampung Muara Tebas yang juga merupakan Kampung Angkat Maritim Negeri Sarawak musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku pada 23 Mei 2020 lalu.
“Saya harap sumbangan yang disampaikan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga tersebut. Ia merupakan hasil kutipan derma kilat yang dilancarkan oleh warga Maritim Negeri Sarawak.” jelas beliau lagi.