
PUTRAJAYA: Kaunter bagi Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) akan ditutup sementara bermula 19 hingga 25 Mac ini sempena sambutan Aidilfitri.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi makluman di laman X rasminya memaklumkan penutupan itu melibatkan semua pejabat imigresen yang mengendalikan urusan program berkenaan di seluruh negara.
“Nota penting: Program Repatriasi Migran 2.0 akan tamat pada 30 April 2026,” menurut hantaran itu.
PRM 2.0 adalah program pengampunan bagi pendatang tanpa izin untuk pulang ke negara asal secara sukarela. Melalui program itu, mereka dikecualikan daripada tindakan pendakwaan serta ditawarkan kompaun mengikut kesalahan tertentu.
Program berkenaan dilaksanakan sejak 19 Mei tahun lepas.
Kerajaan turut bersetuju melanjutkan tarikh akhir program tersebut sehingga 30 April ini, khusus bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Melalui program berkenaan, kompaun sebanyak RM500 dikenakan bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, selain kesalahan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.
Bagi kesalahan melanggar syarat pas pula, kompaun RM300 dikenakan.
-Bernama