Kaunter Program Repatriasi Migran 2.0 ditutup sementara 19-25 Mac sempena Aidilfitri

Facebook
WhatsApp
KAUNTER bagi Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) akan ditutup sementara bermula 19 hingga 25 Mac ini sempena sambutan Aidilfitri. Foto Jabatan Imigresen Malaysia

PUTRAJAYA: Kaunter bagi Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) akan ditutup sementara bermula 19 hingga 25 Mac ini sempena sambutan Aidilfitri.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi makluman di laman X rasminya memaklumkan penutupan itu melibatkan semua pejabat imigresen yang mengendalikan urusan program berkenaan di seluruh negara.

“Nota penting: Program Repatriasi Migran 2.0 akan tamat pada 30 April 2026,” menurut hantaran itu.

PRM 2.0 adalah program pengampunan bagi pendatang tanpa izin untuk pulang ke negara asal secara sukarela. Melalui program itu, mereka dikecualikan daripada tindakan pendakwaan serta ditawarkan kompaun mengikut kesalahan tertentu.

Program berkenaan dilaksanakan sejak 19 Mei tahun lepas.

Kerajaan turut bersetuju melanjutkan tarikh akhir program tersebut sehingga 30 April ini, khusus bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Melalui program berkenaan, kompaun sebanyak RM500 dikenakan bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, selain kesalahan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.

Bagi kesalahan melanggar syarat pas pula, kompaun RM300 dikenakan.

-Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman