KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menyita 10 kenderaan mewah bernilai lebih RM8.12 juta dalam operasi khas di sebuah premis di sini, baru-baru ini.
Menurut Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, Unit Operasi Darat Kuching telah menjalankan pemeriksaan rapi ke atas kenderaan-kenderaan tersebut di dalam sebuah premis di sini pada 2 September lalu.
“Pemeriksaan rapi terhadap kenderaan di premis tersebut telah membawa kepada penemuan 10 kenderaan mewah pelbagai jenama yang disyaki melanggar syarat di bawah Seksyen 75(b) Akta Kastam 1967.
“Modus operandi syarikat yang terlibat adalah memindahkan kenderaan import yang belum dibayar cukai tanpa kelulusan kastam dan menyimpannya di premis yang tidak dilesenkan di bawah Seksyen 65 Akta Kastam 1967 (Gudang Berlesen).
“Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 138 dan Seksyen 75(b) Akta Kastam 1967, dan pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, JKDM Sarawak turut melaporkan kejayaan mematahkan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras tak berkastam sepanjang Julai dan Ogos 2024.
“Lebih 2.4 juta batang rokok dengan nilai anggaran RM2.11 juta serta minuman keras bernilai RM920,292 telah dirampas,” katanya.
Dalam pada itu, JKDM menyeru orang awam untuk membantu memerangi aktiviti penyeludupan dengan menyalurkan maklumat menerusi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855.
Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.