ROM: Beberapa karya penting pelukis zaman Renaissance Antonello da Messina dicuri dari sebuah muzium di Bandar Messina, Sicily, menurut pentadbiran bandar itu hari ini.
Pelaku yang tidak dikenali memecah masuk ke ruang pameran Muzium Wilayah Messina pada waktu malam dan melarikan beberapa karya, menurut pihak berkuasa.
Pencuri berjaya mengambil tiga daripada lima panel karya terkenal “San Gregorio Polyptych”, selain panel dua muka yang menggambarkan Madonna dan Christ. Karya berkenaan dikeluarkan dari dalam kotak pameran berkunci.
Menurut pihak berkuasa, pencuri bertindak dengan sangat teliti ketika melakukan pecah masuk itu. Mereka berjaya memintas sistem penggera untuk memasuki ruang pameran.
Polis kini menjalankan siasatan bagi merungkai urutan sebenar kejadian dan mengumpul petunjuk mengenai identiti pencuri.
“Kami amat terkejut dengan apa yang berlaku,” kata Pengarah Muzium Marisa Mercurio selepas kejadian itu.
Beliau menyifatkan kejadian berkenaan sebagai kehilangan besar bagi muzium, bandar ini, masyarakat dan dunia seni.
Antonello da Messina (sekitar 1430-1479), antara pelukis terkemuka pada awal zaman Renaissance, dilahirkan di Messina dan dianggap sebagai antara seniman terpenting abad ke-15.
Awal tahun ini, kerajaan Itali membeli karya terkenal pelukis itu, “Ecce Homo”, pada harga kira-kira €12 juta (AS$13.9 juta), yang pada asalnya dijadual dilelong.
Kementerian Kebudayaan di Rom campur tangan sebelum lelongan Sotheby’s bermula dan membeli karya berkenaan. – Bernama





