Kardigan bermotif tradisi hasil kreativiti Vivie

Facebook
WhatsApp
VIVIE menunjukkan sebahagian koleksi kardigan bertema tradisi yang dihasilkan beliau.

Menceburi bidang kraf tangan bukan sahaja memerlukan kreativiti tetapi juga keberanian untuk mengubah suai produk mengikut perkembangan zaman, atau kadang-kadang mengikut permintaan pelanggan.

Malah pengusaha kraf tangan yang berpandangan jauh juga akan sentiasa memerah minda untuk menghasilkan sesuatu produk yang baharu, menarik serta sesuai digayakan oleh semua peringkat usia, suasana dan zaman.

Inilah prinsip yang dipegang oleh Vivie Seram, 34, anak jati Sungai Asap, Belaga yang mengusahakan pengeluaran busana dan kraf tangan tradisi kaum Kenyah di Kuching.

Stail pernah menemu bual Vivie sebelum ini berkisar tentang keberanian beliau  menukar material busana tradisi kaumnya dari kain baldu kepada kain kapas , mengubah hiasan manik bergemerlapan kepada sulaman mudah dan menambah warna kepada kostum tradisi.

Alasan kukuh Vivie adalah untuk menjadikan busana tradisional lebih selesa, lebih tahan lasak dan lebih menarik, sesuai dengan harga setiap busana yang mencecah ribuan ringgit setiap satu.

Ternyata kreativiti Vivie terus subur dan terkini, wanita ini melangkah setapak lagi dengan menghasilkan kardigan bermotif tradisi secara sambilan sebagai produk tambahan untuk produk sedia ada beliau.

“Dengan situasi sekarang, agak sukar untuk bertahan dengan hanya bergantung kepada produk kraf tangan dan kostum tradisi sahaja, jadi saya pelbagaikan produk dengan jahitan santai,” kata Vivie yang selama ini mengusahakan produk di bawah jenama Tenup Kalung.

Tambahan pula kata Vivie, beliau melihat generasi sekarang berminat dengan gaya yang berasaskan tema tradisi, malah berbangga apabila menggayakan sesuatu gaya  yang unik daripada biasa.

“Sepanjang pemerhatian saya, ternyata sambutan amat menggalakkan untuk pakaian bertemakan corak Borneo. Dari situ, timbul idea untuk menghasilkan produk saya sendiri,” kata Vivie.

Bertitik tolak daripada keinginan ini, beliau mula meneliti permintaan di beberapa laman sesawang atau kedai-kedai  atas talian bagi meninjau  cita rasa pelanggan, kadar harga yang ditawarkan serta melihat  rekaan-rekaan yang sesuai digayakan untuk waktu santai, bekerja atau majlis rasmi.

Yakin boleh memenuhi cita rasa pelanggan, beliau mula mencari bahan-bahan yang sesuai untuk kardigan atas jenama sendiri. 

“Disebabkan saya baharu bermula, saya guna material sederhana kualitinya, misalnya saya guna kain Koshibo sebagai asas baju dan gabungkan dengan kain batik Borneo,” kata Vivie.

Bermula dengan percubaan untuk menguji pasaran, permintaan menggalakkan daripada pelanggan menyuntik perangsang kepada Vivie untuk terus memerah minda dan tenaga bagi menghasilkan kardigan yang lebih banyak dan berkualiti.

“Saya ketengahkan identiti Tenup Kalung yang membawa maksud ‘kelengkapan perhiasan dan ukiran’ untuk kardigan keluaran saya,” tambah Vivie.

Bercerita tentang keunikan produknya ini, Vivie berkata beliau menggabungkan warna dan corak yang sesuai dengan beberapa jenis kain.   

“Perlu banyak usaha dan idea untuk mengubah bentuk pola dan menentukan gabungan warna kain.  Paling penting, saya akan pastikan jahitan saya kemas demi menjaga kualiti produk ini,” tambah Vivie yang mengusahakan pengeluaran kardigan ini secara solo.

Dalam sehari beliau boleh menghasilkan antara lima hingga lapan helai, itupun diselang-seli dengan masa menjaga anak-anak dan menghasilkan kostum tradisi serta kraf tangan lain yang merupakan fokus utama beliau.

Berdepan dengan kesuntukan masa, maka Vivie memanfaatkan media sosial seperti Facebook dan Instagram sebagai platform untuk memasarkan produknya ini.

Untuk  langkah seterusnya, kata Vivie beliau ingin terus memajukan produk kardigan ini, terutama meneroka pengeluaran dengan kain-kain berkualiti premium.

Oleh HAINI DARANI

Belajar bersabar, jangan rasa tercabar

BELAJAR bersabar, jangan rasa tercabar adalah satu nasihat yang sangat mendalam. Jika diteliti dengan terperinci, sabar adalah kekuatan dalaman dan

Islam mengangkat martabat pekerja

DALAM Islam, pekerjaan bukan sekadar cara untuk memperoleh rezeki, malah ia merupakan satu bentuk ibadah yang mulia jika dilakukan dengan

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos