
KAPIT: Bahagian Kapit disifatkan sebagai tonggak utama kepada aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai ‘hab tenaga rantau’ apabila lebih separuh kapasiti penjanaan elektrik negeri dijana menerusi empangan hidroelektrik di kawasan itu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peranan Kapit tidak hanya terhad kepada penjanaan tenaga, malah menjadi asas kepada pembangunan industri, ekonomi hijau dan pelaburan yang memacu pertumbuhan Sarawak.
“Apabila kita mengatakan Sarawak adalah ‘hab tenaga rantau’, maka kita juga harus mengakui bahawa Kapit adalah salah satu komponen terpenting dalam bateri tersebut kerana di sinilah tenaga itu dijana.
“Inilah maksud sebenar konsep ‘Bahagian Kapit sebagai Pusat Tenaga Hijau Sarawak’. Ia bukan sekadar slogan, sebaliknya realiti sumbangan Kapit kepada negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Kapit di Perkarangan Dewan Suarah Kapit, hari ini.
Menurut Nanta, Sarawak kini mempunyai kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 5,898 megawatt (MW), dengan 58 peratus daripadanya disumbangkan oleh Empangan Bakun yang berkapasiti 2,520MW dan Empangan Murum berkapasiti 944MW, kedua-duanya terletak di Bahagian Kapit.
Katanya, kapasiti itu dijangka meningkat kepada 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Projek Hidroelektrik Baleh yang akan menambah 1,285MW kepada bekalan tenaga negeri.
Selain projek hidroelektrik, kerajaan negeri turut merancang pembangunan solar terapung di Empangan Bakun dan Murum, selain projek Penjanaan Kuasa secara Bertingkat serta Sistem Penyimpanan Tenaga Hidro Berpam di Kapit bagi memperkukuh bekalan tenaga boleh diperbaharui.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan sektor tenaga perlu bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur supaya penduduk Kapit turut menikmati manfaat daripada kekayaan sumber yang dimiliki kawasan itu.
“Adalah menjadi harapan rakyat agar kawasan yang menjadi antara penyumbang utama tenaga hijau Sarawak turut menikmati bekalan elektrik yang stabil dan menyeluruh,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kapit.
Beliau turut berharap usaha menaik taraf jalan raya, jambatan dan kemudahan asas di Bahagian Kapit terus dipercepatkan bagi meningkatkan hubungan antara kawasan, merangsang aktiviti ekonomi serta memperbaiki taraf hidup masyarakat luar bandar.
Hadir sama merasmikan majlis tersebut ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Oleh Tarani Lanting