DALAT: Sebuah kapal layar milik warga Russia terkandas di Beting Pasir Kuala Oya semalam akibat cuaca buruk dan kerosakan alat navigasi (GPS).
Kejadian berlaku sekitar pukul 8 malam ketika ombak kuat, angin kencang, dan hujan lebat melanda kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Saga Chunggat, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang melihat kapal tersebut tersangkut di beting pasir, kira-kira 50 hingga 100 meter dari pantai.
“Kami segera menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bintulu dan Pusat Kawalan Operasi Maritim (MRSC) Kuching untuk makluman.
“Namun, keadaan ombak yang kuat menyebabkan pihak polis dan penduduk setempat tidak dapat memberikan bantuan segera kepada kru kapal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada sekitar pukul 10 malam, setelah hujan reda sedikit, dengan bantuan polis dan penduduk kampung telah meredah hutan tepi pantai sejauh lebih kurang 300 meter dan berjaya menemui kri kapal yang berlindung di daratan pantai Kuala Oya.
“Seramai empat kru kapal, kesemuanya lelaki warga Russia, didapati selamat setelah keluar dari kapal yang tersadai ke tepi pantai menggunakan ‘life raft’ mereka dan berlindung daripada ombak serta tiupan angin kuat,” katanya.
Saga berkata, kapten kapal memberitahu bahawa alat navigasi mereka rosak dan mereka juga berhadapan dengan laut bergelora.
Mereka tersadai di beting pasir Kuala Oya kerana tidak mengetahui kawasan dan alur masuk ke Kuala Sungai Oya untuk berlindung dari ombak.
“Kesemua empat kru warga Russia ini mempunyai dokumen dan pasport yang sah. Mereka tidak memerlukan bantuan pihak polis, cuma memohon bantuan kapal tunda untuk menarik kapal mereka yang terkandas,” katanya.
Kapal tersebut bersama empat kru warga Russia berlayar dari Filipina, singgah di Labuan, dan dijadualkan ke Kuching.
Namun, semasa pelayaran dari Miri, kapal mengalami kerosakan alat navigasi dan terperangkap di beting pasir Kuala Oya, Dalat.
Kesemua kru berjaya menyelamatkan diri ke pantai meninggalkan kapal yang tersadai di beting pasir.