
SAR...pasukan BBP Lawas mula digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat seorang kru yang hilang.
LAWAS: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan untuk mencari mangsa hilang akibat kapal kargo karam di Laut Awat-awat/Sundar.
Mangsa hilang dikenali sebagai Zauyik Anang Fatmanto, berusia 42 tahun tetapi kewarganegaraan mangsa masih belum dikenal pasti.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 7, Ramlan Marajan dalam satu kenyataan memaklumkan insiden kapal kargo yang membawa batu telah karam di Laut Awat-awat Sundar awal pagi tadi.
“Bilik Kawalan Bomba dan Penyelamat (BPP) Lawas menerima panggilan dari Bilik Gerakan IPD Lawas yang melaporkan berlaku insiden bot karam.
“Maklumat turut memberitahu terdapat seorang mangsa dikhuatiri hilang akibat kejadian tersebut, “katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Kapal kargo itu dipercayai membawa batu dari Sipitang, Sabah menuju ke Brunei telah karam pada kedudukan 2.2 batu nautika di Laut Awat-Awat Sundar, Lawas.
Sehubungan itu operasi SAR telah digerakkan dan pasukan operasi BBP Lawas telah menggerakkan sebuah bot dengan 15 kuasa kuda bersama empat anggota.
Pencarian telah dijalankan di pesisiran pantai sejauh dua batu nautika.
Sementara itu, sebuah bot fiber dengan enjin 40 kuasa kuda kini dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi SAR di kawasan laut berkenaan.
Turut terlibat dalam operasi SAR ialah 12 pegawai dan anggota BBP Lawas, 11 pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan tiga anggota Pengawal Pantai Sarawak.
Oleh ADENG EDRUS