ANKARA: Kapal kargo berkuasa angin yang terpanjang di dunia dilancarkan di Turkiye, pada Jumaat lalu.
Ia menawarkan cara untuk mengurangkan pelepasan karbon untuk kapal dagang barangan.
Kapal Neoliner Origin sepanjang 136 meter itu kini dalam proses pemasangan selama enam bulan di pelabuhan Tuzla, Turkiye.
Ia adalah buatan syarikat Perancis, Neoline dan dibina oleh limbungan kapal Turkiye, RMK Marine.
Kapal itu boleh membawa muatan seberat 5,300 tan metrik dalam jarak jauh, mempunyai dua tiang layar dan layar seluas 3,000 meter persegi.
“Terima kasih kepada angin, dan dengan mengurangkan kelajuan kira-kira 30 kilometer (km) kepada 20 km, kita boleh mengurangkan penggunaan bahan api,” kata Presiden Neoline Jean Zanuttini yang berpangkalan di Nantes, memberitahu AFP.
Sektor pengangkutan maritim bertanggungjawab untuk kira-kira tiga peratus daripada pelepasan gas rumah hijau, dengan kira-kira 90 peratus perdagangan dunia melalui laut, menurut Pertubuhan Maritim Antarabangsa.
Kapal itu akan meninggalkan Turkiye pada musim panas 2025 ke pelabuhan di Lautan Atlantik bagi Perancis iaitu di Saint-Nazaire.
Kemudian, ia akan memulakan pelayaran pertamanya ke arah Amerika Utara; pulau Perancis Saint-Pierre-et-Miquelon; pelabuhan Amerika Syarikat (AS), Baltimore dan Halifax di Kanada.
Projek itu mendapat sokongan bank pelaburan awam (BPI) Perancis dan syarikat perkapalan Perancis CMA-CGM. – AFP