SARIKEI: Seorang kanak-kanak lelaki berumur setahun sembilan bulan yang terkunci dalam tandas berjaya diselamatkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei dalam satu insiden baru-baru ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.22 petang.
“Empat anggota APM Sarikei segera dikerahkan ke lokasi kejadian di rumah flat Susur Jambu,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, setibanya di lokasi, ibu mangsa memohon bantuan untuk mengeluarkan anak lelakinya yang terkunci di dalam tandas.
“Pasukan kami bertindak memecahkan pintu tandas dan berjaya mengeluarkan kanak-kanak tersebut dalam tempoh kira-kira empat minit,” ujarnya.
Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada ibunya dalam keadaan selamat.
Operasi penyelamatan selesai sepenuhnya, 2.41 petang.
Oleh Earl Anek