KOTA SAMARAHAN: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang terperangkap di dalam kereta di stesen bas Desa Ilmu di sini, hari ini.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu kira-kira 7.31 pagi.
Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dengan kekuatan lima orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian yang terletak lima kilometer dari balai, pasukan keluaran operasi bertindak menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kanak-kanak perempuan berada dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada ibunya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.46 pagi setelah anggota bomba memastikan semua keadaan kembali selamat dan terkawal.
Oleh Rynna Sha’erra