Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Kanada mara ke 16 terakhir selepas tumbangkan Afrika Selatan
  • SUKAN

Kanada mara ke 16 terakhir selepas tumbangkan Afrika Selatan

Utusan Sarawak 7 hours ago
PEMAIN tengah Kanada, Tajon Buchanan (kanan), melepaskan percubaan ke arah gawang tetapi gagal menghasilkan jaringan ketika aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Afrika Selatan di Stadium Los Angeles, Inglewood pada 28 Jun 2026. Foto AFP

LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Jaringan kemenangan pada masa kecederaan oleh Stephen Eustaquio menghadiahkan Kanada kemenangan 1-0 ke atas Afrika Selatan dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati Piala Dunia sebentar tadi, sekali gus membawa negara tuan rumah bersama itu mara ke kelompok 16 terakhir buat kali pertama dalam sejarah.

Kedua-dua pasukan membuat penampilan sulung di pusingan kalah mati dan perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan sebelum Eustaquio memusnahkan harapan Afrika Selatan menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti.

Kanada, yang beraksi di Los Angeles meskipun berstatus tuan rumah bersama selepas gagal muncul juara kumpulan, akan berdepan Belanda atau Maghribi di Houston pada 4 Julai bagi merebut tempat ke suku akhir, manakala perjalanan Afrika Selatan dalam Piala Dunia berakhir.

PEMAIN tengah Afrika Selatan, Teboho Mokoena (kiri), bersaing merebut bola dengan pertahanan Kanada, Richie Laryea, dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles, Inglewood pada 28 Jun 2026. Foto AFP

Sebelum perlawanan, jurulatih Jesse Marsch memuji kehadiran semula bintang Kanada, Alphonso Davies, yang disifatkannya memiliki faktor pembeza selepas pulih daripada kecederaan otot paha belakang (hamstring).

Bagaimanapun, pertahanan sayap Bayern Munich itu, yang masih belum beraksi dalam kejohanan kali ini, sekali lagi tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Kanada memulakan aksi dengan agresif dan mencipta beberapa peluang ketika berdepan benteng pertahanan rapat Afrika Selatan.

Pada minit ke-22, sepakan percuma Eustaquio yang tepat menemui Derek Cornelius yang tidak dikawal di hadapan gawang, namun pertahanan tengah Kanada itu gagal melakukan tandukan dengan sempurna.

Afrika Selatan sesekali mengancam menerusi serangan balas, namun Kanada hampir membuka jaringan menjelang tamat babak pertama.

PENYERANG Kanada, Tani Oluwaseyi (kiri), melepaskan percubaan ke arah gawang namun gagal menewaskan pertahanan Afrika Selatan, Ime Okon, dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles, Inglewood pada 28 Jun 2026. Foto AFP

Tandukan Moise Bombito hasil sepakan penjuru berjaya dikeluarkan di atas garisan gol sebelum percubaan susulan Tajon Buchanan diselamatkan penjaga gol, Ronwen Williams.

Tidak lama kemudian, Khuliso Mudau mengasari Richie Laryea di kawasan penalti, namun rayuan Kanada untuk mendapatkan sepakan penalti tidak dilayan pengadil.

Keputusan itu mengundang rasa tidak puas hati penyokong Kanada, yang semakin lantang bersorak selepas rehat apabila Afrika Selatan terus bermain secara berhati-hati sambil melengahkan permainan.

Selepas sejam permainan, Kanada sekali lagi hampir menjaringkan gol.

Pemain gantian, Niko Sigur, melorongkan bola kepada Tani Oluwaseyi, namun percubaannya ditepis Williams sebelum bola melambung ke arah Jonathan David. Bagaimanapun, pertahanan Mbekezeli Mbokazi terlebih dahulu bertindak cemerlang mengeluarkan bola.

Pada minit ke-75, Davies akhirnya dimasukkan dan disambut sorakan gemuruh penyokong sebelum segera memberikan impak.

Dari sebelah kiri, Davies menghantar bola kepada Jonathan David yang kemudian melorongkannya kepada rakan sepasukan, Promise David, namun rembatannya tersasar.

Beberapa minit kemudian, Davies sekali lagi mencipta peluang kepada Jonathan David, namun percubaannya dari sudut sempit berjaya dinafikan Williams.

Pada minit kedua masa kecederaan, Kanada akhirnya memecah kebuntuan.

Jacob Shaffelburg meluru di sayap kanan sebelum melakukan hantaran lintang yang ditanduk keluar ke arah Eustaquio.

Pemain tengah Porto yang dipinjamkan kepada Los Angeles FC itu mengawal bola menggunakan dada sebelum melepaskan rembatan voli yang menerjah penjuru kiri bawah gawang.

Bangku simpanan Kanada meluru masuk ke padang ketika stadium bergema meraikan kemenangan bersejarah negara itu. — AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Iran kecam layanan ‘tidak adil’ ketika pulang dari Piala Dunia
Next: Gol demi gol warnai Piala Dunia dengan banyak pecah rekod

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.