
SIBU: Kementerian Perpaduan Negara bakal menerbitkan buat julung kalinya Kalendar Perayaan Etnik Minoriti pada Januari 2026, sebagai langkah memperkukuh kefahaman, pengiktirafan dan keharmonian antara kaum di Malaysia.
Menterinya, Dato Sri Aaron Ago Dagang mengumumkan perkara itu semasa berucap merasmikan Pentas Festival Kebudayaan Borneo Dayak (BDCF) 2025 di Dataran Tun Tuanku Bujang, sebentar tadi.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan satu dokumen rujukan rasmi yang akan menghimpunkan tarikh-tarikh penting pelbagai perayaan dan upacara tradisi etnik minoriti di seluruh negara.
“Kalendar ini bukan sekadar jadual tarikh, tetapi akan mengandungi penerangan tentang maksud setiap perayaan, asal usul, dan amalan kebudayaan yang berkait dengannya.
“la akan diedarkan secara digital dan fizikal kepada semua kementerian, agensi kerajaan, sekolah, universiti dan pihak berkepentingan,” katanya.
Ahli Parlimen Kanowit itu juga berkata, dengan adanya kalendar ini, rakyat akan lebih peka tentang tarikh Hari Irau Aco (Lun Bawang), Pesta Songran (Siam), Pesta Kalimaran (Murut), Pesta Lepa-Lepa (Bajau), Pesta Magahau (Rungus), serta Pesta Mipis (Dusun Lotud).
“Kita akan lebih memahami sensitiviti budaya, dan yang lebih utama kita akan lebih menghormati satu sama lain sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.
Beliau percaya hanya dengan memahami dan menghormati budaya orang lain, maka perpaduan nasional dapat bertapak dengan kukuh.
“Dan dari sinilah,semangat ‘Harmoni dalam Kepelbagaian’ akan hidup bukan hanya dalam dokumen dasar, tetapi dalam tindakan, tutur kata dan gaya hidup seharian kita sebagai rakyat Malaysia,” jelasnya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting serta timbalannya, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, Ketua Penyelaras Pentas Dayak BDCF 2025, Kaunselor Augustine Merikan dan tetamu kehormat lain.
Oleh Akun Giman