KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berharap satu laporan interim berkaitan status pengasingan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya dapat dimasukkan dalam kajian empirikal berkaitan perkara itu pada tahun depan.
Beliau berkata setakat ini, kajian empirikal berkaitan pengasingan peranan AG dan Pendakwa Raya masih berjalan dan akan mengambil sedikit masa, mengambil kira kerumitan serta cabaran pelaksanaannya.
“Pada tahun hadapan harapannya kajian empirikal yang dilaksanakan, satu laporan interim boleh dimasukkan bagi status tentang peranan AG dan pemisahan (peranan) AG dan Pendakwa Raya, ini menunjukkan agenda reformasi sentiasa dilaksanakan dan diteruskan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Azalina menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu prestasi agenda reformasi institusi yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menerajui Kerajaan Perpaduan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang mencadangkan pindaan dibuat kepada Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan sementara menunggu kajian empirikal itu disiapkan, beliau berkata kerajaan tidak boleh terburu-buru berbuat demikian.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata kerajaan MADANI ialah kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak boleh membuat satu-satu ketetapan hanya kerana ia dituntut ramai atau keputusan yang popular.
Azalina berkata kajian empirikal dibuat kerajaan bersama-sama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang diketuai Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen selain turut disertai Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim yang mewakili blok pembangkang.
Beliau berkata Jawatankuasa Khas Parlimen dan wakil pembangkang dilibatkan dalam kajian empirikal bagi memastikan mereka dapat mendengar, melihat dan bertanya sendiri kepada negara-negara yang melakukan pengasingan kuasa berkenaan.
“Bila kita pergi ke Kanada dan Australia, mereka pun memberikan alasan yang sama bahawa perubahan mereka melalui satu masa, bukan secara mendadak hanya kerana dituntut … memang pindaan kita boleh buat tapi kerajaan MADANI satu kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata kajian empirikal itu juga melibatkan evidence based research dan perbincangan yang turut melibatkan kumpulan fokus semua pakar-pakar universiti terlibat dalam setiap negara-negara yang dilawati bagi membuat kajian.
“Maknanya komitmen itu ada, keputusannya di peringkat laporan interim, kemudiannya dasar dan kalau dipersetujui kita bawa ke Parlimen dan Ahli Parlimen ada peluang beri pandangan mereka,” katanya. – Bernama