
KUCHING: Projek kabel dasar laut yang bakal menghubungkan Sarawak dan Johor kini menunggu kelulusan Kerajaan Indonesia bagi membolehkan kajian dasar laut dilaksanakan untuk menentukan laluan paling sesuai bagi pemasangan kabel tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kerajaan telah mengemukakan surat permohonan kepada Indonesia memandangkan kira-kira 60 hingga 70 peratus laluan projek itu melibatkan perairan negara berkenaan.
“Kita telah menghantar surat permohonan dan selepas mendapat kelulusan, kajian dasar laut akan dijalankan bagi menentukan laluan paling sesuai untuk pemasangan kabel tersebut.
“Sebahagian besar laluan melalui perairan Indonesia, jadi kita perlu mendapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu sebelum kajian dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu Surau Nurul Muslimin Kampung Sungai Bedil Besar, di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, projek kabel dasar laut itu merupakan antara komponen penting dalam pembangunan Grid Kuasa ASEAN (APG) yang bertujuan mewujudkan rangkaian bekalan tenaga elektrik rentas sempadan di rantau ASEAN.
Menurut beliau, Sarawak yang kini telah dihubungkan dengan Kalimantan Barat dan Sabah turut dijangka disambungkan ke Brunei bagi membentuk Grid Borneo yang merangkumi Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan.
Katanya, Grid Borneo kemudiannya akan dihubungkan dengan wilayah lain di Indonesia serta Filipina sebelum disambungkan ke Semenanjung Malaysia melalui Johor.
“Daripada Kuching akan dihubungkan ke Semenanjung iaitu Johor dan sebahagian bekalan akan disalurkan ke Singapura.
“Rangkaian ini akan menjadi sebahagian daripada sistem Grid Kuasa ASEAN yang menghubungkan negara-negara di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini hubungan grid tenaga ASEAN telah melibatkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, manakala beberapa projek lain sedang dirancang termasuk kabel dasar laut dari Kelantan ke Vietnam yang seterusnya akan menghubungkan Kemboja dan Laos.
Menurutnya, pelaksanaan penuh APG bergantung kepada kemampuan setiap negara untuk menaik taraf infrastruktur grid masing-masing.
“Di Semenanjung, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memberi komitmen untuk melabur kira-kira RM42 bilion sehingga tahun 2028 bagi menaik taraf sistem grid termasuk meningkatkan sebahagiannya kepada sistem berkapasiti 500 kilovolt (kV).
“Di Sarawak juga kita perlu menaik taraf grid bagi menyokong pembangunan rangkaian tenaga serantau ini,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat