PEMBUATAN Kain Buriek semakin popular di kalangan penduduk di negeri ini dan boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan untuk mereka yang mengusahakannya.
Kaiun Buriek merujuk kepada kain yang dihiasi manik daripada siput atau dalam bahasa tempatannya, tekuyung.
Namun bukan mudah untuk menghasilkan kain ini kerana ia memerlukan minat serta ketelitian di dalam proses penjahitan manik ke atas sehelai kain yang biasanya berwarna polos.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo, hasil kerja tergantung kepada kreativiti pembuatnya terutama sekali dari segi corak yang boleh menarik perhatian peminat seni kreatif tradisional ini.
Pembuatnya bebas menampilkan reka bentuk masing-masing, umpamanya dan ini boleh menjadi daya tarikan tersendiri.
Justeru beliau melihat pembuatan kain ini sebagai wadah untuk mengaplikasikan kreativiti seseorang kerana pembuatan coraknya pada kain tergantung kepada apa yang ada di dalam minda mereka.
Beliau berharap penduduk tempatan akan mempelajari lebih mendalam tentang teknik pembuatan kain Bureik ini melalui kursus-kursus yang ditawatkan atau belajar daripada orang yang mahir di dalam bidang berkenaan.
“Saya melihat ini bukan hanya sekadar untuk memenuhi hobi atau minat sahaja, malah boleh dijadikan sebagai aktiviti ekonomi yang boleh menjana pendapatan bagi individu dan keluarga,” ujarnya semasa merasmikan Kursus Kain Buriek Mukah Siri Ke-17 di Hotel Li Hua Mukah, baru-baru ini.
Beliau berterima kasih kepada Kesatuan Dayak Nasional Sarawak (SDNU) kerana membawa kepakaran itu ke Mukah.
Sebelum ini SDNU telah menganjurkan beberapa siri kursus pembuatan kain Buriek di seluruh Sarawak dengan matlamat mengetengahkan kraftangan bernilai yang menampilkan unsur tradisi sesuatu kaum.
Yussibnosh berharap aktiviti ini juga akan mendapat perhatian daripada ADUN atau Ahli Parlimen di kawasan lain kerana seni kreatif ini boleh membawa manfaat kepada masyarakat setempat.
Kursus Siri Ke-17 ini merupakan anjuran SDNU Cawangan Mukah dan dikendalikan oleh Pengurus Tekuyong Buriek Kapit, Wong Yau Nyau@Anyau John.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta kursus dibimbing tentang langkah-langkah pembuatan kain Buriek seperti menerangkan cara menggunakan kain, membuat corak, memilih kain, melapik kain dan menggunakan gam fabrik.
Pada kesempatan yang sama, peserta turut dibimbing cara-cara pembuatan tali pinggang , baju hitam kuning dan selempang.
Sementara itu Wong yang merupakan seorang guru, menyatakan minat beliau di dalam pembuatan kain ini telah mendorong beliau untuk mempelajarinya dan kini menjadi tenaga pengajar seni kreatif yang semakin popular ini.
Oleh Henry B Siyu