
SIBU: Keberkesanan tindakan proaktif dan usaha gigih semua bahagian serta balai polis di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu membuahkan hasil apabila kadar jenayah di daerah ini mencatatkan penurunan sebanyak 37.17 peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, sebanyak 223 kes berjaya dikurangkan dalam tempoh tersebut berbanding tahun lalu, hasil pelaksanaan operasi bersepadu dan tindakan pantas anggota di lapangan.
Beliau menzahirkan rasa puas hati terhadap prestasi semua bahagian dan balai polis yang berjaya mematahkan pelbagai sindiket jenayah serta dadah melalui pendekatan bersepadu dan pemantauan berterusan.
“Hasil usaha gigih dan tindakan proaktif semua bahagian serta balai polis, masyarakat kini kembali menaruh kepercayaan terhadap PDRM apabila setiap aduan dan kejadian dapat dibendung dengan segera tanpa menimbulkan rasa gusar atau resah,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan IPD Sibu, hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan keberkesanan strategi penguatkuasaan serta peranan aktif anggota di semua peringkat dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“IPD Sibu akan terus memperkukuh strategi pencegahan jenayah melalui penglibatan komuniti, penggunaan teknologi dan peningkatan profesionalisma dalam kalangan anggota bagi mengekalkan momentum kejayaan tersebut,” tegasnya.
Pada perhimpunan tersebut, Zulkipli turut menyampaikan sijil penghargaan dan penyematan pangkat kepada warga IPD Sibu yang telah dinaikkan pangkat dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam menjalankan tugas.
Oleh Akun Giman