GONZALO Higuain mengalami kecederaan hamstring pada otot kanan ketika latihan dan akan dipantau menjelang aksi sambungan semula Serie A, perkara itu disahkan Juventus.
Kelab Bianconeri itu bersedia untuk kembali beraksi di padang dekat Bologna pada 22 Jun ketika kempen bersambung selepas pandemik Covid-19.
Namun penyerangnya, Higuan mengalami kecederaan ringan semalam, meninggalkan kebimbangan Maurizio Sarri terhadap aksi dua minggu setengah Juve dalam perlawanan kompetitif akan datang.
“Ketika sesi latihan hari ini (semalam), Gonzalo Higuain mengalami kekejangan otot pada betis sebelah kanannya,” catatan menerusi Twitter rasmi Juventus.
“Beberapa ujian dilakukan di Pusat Perubatan J belum dapat mengesahkan apa-apa. Keadaannya masih di pantau beberapa hari ini.”
Higuain dikait kuat meninggalkan Juve pada permulaan musim namun kekal dalam barisan pasukan kendalian Sarri, yang melatih penyerang itu kedua-duanya di Napoli dan Chelsea.
Pemain berusia 32 tahun itu, yang dijadualkan tamat kontrak pada penghujung musim ini, sudah menjaringkan lima gol dalam 23 perlawanan Serie A musim ini, selain kerap membantu dua bintang kelab itu, Cristiano Ronaldo dan Paulo Dybala.
Sementara itu, hubungan Mario Balotelli bersama pasukan kampung halamannya, Brescia dijangka akan berakhir selepas media tempatan melaporkan kontraknya akan ditamatkan selepas berulang kali tidak hadir ke latihan.
Surat mengenai pelepasan pemain antarabangsa Itali itu dihantar oleh peguam kelab kelmarin, berdasarkan laporan Sky Sport, Gazzetta dello Sport dan agensi berita AGI.
Balotelli dilaporkan terlepas beberapa sesi latihan sejak pasukan Serie A dibenarkan untuk kembali berlatih bulan lalu.
Sebelum itu pemain berlatih secara bersendirian sebelum diberikan kebenaran menyambung latihan secara berpasukan.
Pemain berusia 29 tahun itu berkata minggu ini, dia kurang sihat dan akan menghantar sijil cuti sakit sebagai bukti.
Jurulatih Brescia, Diego Lopez berkata, beliau kecewa dengan sikap penyerangnya itu.
“Mario berlatih berasingan kerana rakan sepasukannya perlu melakukan tugas yang dia tidak melakukannya,” kata Lopez kepada Corriere della Sera.-AFP