MADRID: Skuad juara Piala Dunia 2026, Sepanyol dijadual pulang ke tanah air hari ini bagi menerima sambutan wira di Madrid, dengan kira-kira sejuta penyokong dijangka membanjiri ibu negara itu selepas malam penuh kemeriahan meraikan kejayaan bersejarah tersebut di seluruh negara.
Kejayaan itu mencetuskan gelombang kebanggaan nasional di Sepanyol yang begitu meminati bola sepak, khususnya dalam kalangan penyokong muda yang tidak pernah menyaksikan skuad lelaki negara mereka menjulang Piala Dunia sejak satu-satunya kejuaraan terdahulu di Afrika Selatan pada 2010.
Segar daripada kemenangan 1-0 ke atas Argentina pada aksi final di East Rutherford, Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi, skuad bimbingan Luis de la Fuente dijadual tiba di Madrid pada 12.50 tengah hari waktu tempatan (6.50 petang waktu Malaysia) bersama trofi kejuaraan.
Para pemain kemudiannya dijadual menghadap Raja Felipe VI dan Perdana Menteri Pedro Sanchez sebelum menaiki bas terbuka untuk perarakan meraikan kejayaan melalui pusat bandar Madrid bermula sekitar 4.30 petang.
Perarakan itu akan bermula berhampiran Istana Moncloa, kediaman rasmi Perdana Menteri, sebelum menuju ke Dataran Cibeles, kata wakil Kerajaan Pusat Sepanyol di Madrid, Francisco Martin, kepada televisyen awam Sepanyol.
Satu majlis khas melibatkan para pemain turut akan diadakan di dataran berkenaan yang menjadi lokasi tradisi penyokong dan pasukan kebangsaan Sepanyol meraikan kejayaan besar.
Martin berkata, kira-kira sejuta orang dijangka memenuhi laluan perarakan, manakala langkah keselamatan serta pengangkutan tambahan telah dirancang bagi menguruskan kehadiran orang ramai.
Seramai 2,050 anggota polis dan 400 anggota Pengawal Awam akan ditugaskan sepanjang sambutan itu.
Bagaimanapun, jadual penuh sambutan masih belum dimuktamadkan setakat pagi Isnin berikutan Pedro Sanchez dijadual melakukan lawatan singkat ke Algeria sebelum pulang ke Sepanyol pada sebelah petang.
Pihak Istana Diraja juga masih belum mengesahkan sama ada Raja Felipe VI akan menghadiri sambutan tersebut.
Suasana yang bakal berlangsung dijangka mengulangi sambutan bersejarah pada 2010 apabila ratusan ribu penyokong membanjiri jalan-jalan di Madrid bagi meraikan kepulangan skuad kebangsaan selepas muncul juara dunia buat kali pertama di Afrika Selatan.
Sorakan ‘Campeones!’
Sementara menanti kepulangan pasukan itu, sambutan kemenangan berterusan di seluruh Sepanyol, daripada Madrid hingga ke perkampungan kecil.
Di ibu negara, ribuan penyokong yang menyaksikan perlawanan di bar serta tiga zon penyokong khas terus memenuhi jalan raya sejurus tamat perlawanan.
Bunyi hon kenderaan bergema, bunga api menerangi langit, manakala penyokong memenuhi jalan dan dataran sebaik wisel penamat ditiup, meskipun mereka terpaksa menunggu dengan penuh debaran selepas Sepanyol bergelut untuk menembusi benteng pertahanan Argentina sepanjang aksi final.
Di Dataran Colon, lokasi salah satu zon penyokong, ribuan penyokong yang menyelubungi diri dengan bendera merah dan kuning Sepanyol terus menyanyi serta menari hingga lewat malam musim panas, manakala sebahagian lagi menyalakan suar dan bunga api.
“Campeones, campeones! (Juara, juara!)” bergema daripada laungan penyokong yang meraikan kejayaan itu.
Sebahagian lagi melaungkan “Que viva Espana! (Hidup Sepanyol!)” sebagai meraikan kejuaraan yang hadir hanya dua tahun selepas negara itu menjuarai Euro 2024, selain skuad wanita yang masih bergelar juara dunia selepas memenangi Piala Dunia Wanita pada 2023.
“Anda menghadapi setiap cabaran dengan keyakinan sebagai sebuah pasukan hebat dan telah mengangkat nama Sepanyol ke puncak dunia,” menurut kenyataan Rumah Tangga Diraja Sepanyol menerusi platform media sosial X.
Ia turut menyifatkan kejayaan itu sebagai “ganjaran” hasil daripada “komitmen luar biasa dalam setiap perlawanan”.
“Hari ini kita meraikan satu kejuaraan. Esok kita akan mengingati sebuah legenda,” menurut kenyataan itu. – AFP





