
WELLINGTON: Pertandingan luncur air di New Zealand dihentikan sementara selepas seorang jurugambar diserang haiwan marin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik penganjur pada hari ini.
Kejadian berlaku ketika separuh akhir lelaki New Zealand Pro di Raglan, pantai barat Pulau Utara.
Dua peluncur Brazil, Italo Ferreira dan Yago Dora, dibawa keluar dari air menggunakan jet ski selepas pertandingan dihentikan.
“Setakat ini, kami belum pasti sama ada ia jerung atau singa laut,” kata Naib Presiden Jelajah dan Pertandingan Liga Luncur Dunia (WSL), Renato Hickel sejurus selepas insiden itu pada pagi Isnin.
Hickel berkata doktor di lokasi kejadian percaya jurugambar itu mungkin digigit singa laut, bukannya jerung.
“Namun, ia tetap sangat menakutkan,” katanya.
Hickel berkata jurugambar itu kini berada di hospital dalam keadaan stabil dan “bersemangat tinggi”, sambil menambah pertandingan akan disambung semula selepas penganjur berbincang dengan peluncur dan pihak berkepentingan lain.
Dalam mesej yang dipetik ketika siaran WSL, jurugambar Ed Sloane berkata beliau “baik-baik sahaja” dan sedang menerima rawatan selepas mengalami gigitan pada kaki kirinya.- Bernama-dpa