Jumlah titik panas di Kalimantan meningkat lebih 50 peratus

Facebook
WhatsApp
POKOK kelihatan sebagai bayangan di sebalik jalan yang diselubungi jerebu di bandar Palangkaraya, Kalimantan Tengah, pada 20 Ogos 2026, apabila asap daripada kebakaran hutan dan tanah secara meluas mengurangkan jarak penglihatan serta menjejaskan kualiti udara di seluruh wilayah berkenaan. Kerajaan Indonesia memaklumkan lebih 100,000 hektar kawasan terbakar pada separuh pertama tahun ini. Foto AFP

JAKARTA: Jumlah titik panas yang dikesan di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan meningkat lebih 50 peratus dalam tempoh sehari kepada 518, susulan peningkatan kejadian kebakaran hutan dan tanah.

Kementerian Kehutanan Indonesia memaklumkan Kalimantan Barat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 259 titik panas, diikuti Kalimantan Tengah 242 dan Kalimantan Selatan 17.

Angka terbaharu yang direkodkan setakat 7.00 pagi waktu tempatan pada Khamis meningkat daripada 336 sehari sebelumnya, apabila Kalimantan Tengah mencatatkan 188 titik panas, Kalimantan Barat 117 dan Kalimantan Selatan 31.

Kementerian itu berkata walaupun data agensi cuaca negara menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan kawasan di Indonesia kekal pada tahap baik (hijau) dan sederhana (biru), titik merah kini dikesan di Kalimantan Tengah.

“Keadaan itu menunjukkan kualiti udara sangat tidak sihat, manakala kawasan sekitar di Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan masih dikategorikan dalam zon kuning atau tidak sihat,” menurut kementerian itu dalam hantaran terbaharu di media sosial. – Bernama