KUCHING: Sejak Sarawak melaksanakan kadar rata tambang perkhidmatan bas pada RM1, jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan bas awam di Bandar Kuching, Sibu dan Miri adalah sangat memberangsangkan.
Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, sambutan luar biasa terhadap program tersebut dibuktikan dengan peningkatan penumpang yang ketara iaitu daripada 12,657 pada bulan Mei 2020 kepada 247,772 pada bulan Julai lalu.
“Peningkatan ketara di semua bandar terlibat ini menunjukkan bahawa rakyat responsif terhadap program mulia yang dimulakan oleh Kerajaan Negeri ini.
“Data yang dikumpulkan mengenai penumpang menunjukkan peningkatan yang signifikan walaupun pergerakannya terhad kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk membendung penularan Covid-19 di negeri.
“Kita ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama kepada pengusaha bas yang telah berusaha keras untuk menjayakan program ini,” katanya demikian dalam mesyuarat Kementerian Pengangkutan kelmarin.
Program tersebut telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak pada 4 Mei lalu dan dilancarkan pada 12 Mei di Miri, 20 Mei di Sibu dan pada 21 Mei di Kuching dengan objektif untuk mendorong lebih banyak orang menggunakan bas awam, meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah, mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar dan mendorong syarikat bas meningkatkan perkhidmatan mereka.
“Pelaksanaan program disertai oleh 12 syarikat bas iaitu empat di Kuching, Sibu (5) dan Miri (3) di Miri yang mana beroperasi di 44 laluan yang telah diluluskan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak dengan 12 laluan berada di Kuching, Sibu (17) dan Miri (15),” jelasya.
Mengulas mengenai mesyuarat, Lee berkata pihaknya telah menghubungi semua syarikat bas yang mengambil bahagian dalam program tersebut untuk mendapatkan maklum balas dari mereka untuk meningkatkan lagi perkhidmatan mereka kepada rakyat.
“Antara isu yang dibangkitkan dan dibincangkan adalah bagaimana mendapatkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan bas, mengkaji kaedah promosi dan melihat semula kemudahan yang disediakan termasuk perhentian bas.
“Selain itu adalah kebolehpercayaan perkhidmatan bas dari segi jadual dan kekerapan, perakuan lembaran log oleh pengusaha bas dan pembayaran subsidi, meminta bas tambahan untuk meningkatkan kekerapan dan jadual yang tepat pada masanya dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” ujarnya.
Turut hadir, wakil dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan LPKP.
Oleh Zarina Abdullah