Jumlah korban nahas pesawat kecil di Brazil meningkat tiga orang

Facebook
WhatsApp
BANGKAI sebuah pesawat kecil kelihatan di kawasan parkir kereta selepas terhempas ke sebuah bangunan di pusat bandar Belo Horizonte, negeri Minas Gerais, Brazil, pada 4 Mei 2026. Foto AFP

BELO HORIZONTE, Brazil: Tiga maut dan dua lagi cedera semalam selepas sebuah pesawat kecil terhempas ke sebuah bangunan kediaman di bandar utama Brazil, Belo Horizonte.

Juruterbang dan pembantu juruterbang maut di lokasi kejadian, manakala tiga lagi individu yang berada di dalam pesawat dikejarkan ke hospital, menurut Jabatan Bomba negeri Minas Gerais.

Seorang daripada mangsa yang cedera kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan, manakala dua lagi masih dirawat di hospital dalam keadaan stabil, menurut yayasan hospital tempatan.

Walaupun berlaku hentaman secara langsung, tiada penghuni bangunan yang cedera dan struktur bangunan tersebut tidak menunjukkan risiko runtuhan yang ketara, menurut pihak bomba.

ANGGOTA bomba melakukan memeriksa kawasan bangkai sebuah pesawat kecil yang terhempas ke sebuah bangunan di pusat bandar Belo Horizonte, negeri Minas Gerais, Brazil, pada 4 Mei 2026. Foto AFP

Rakaman oleh helikopter milik penyiar TV Globo yang berada di kawasan tersebut menunjukkan detik-detik akhir pesawat berkenaan apabila ia kehilangan ketinggian, membelok ke kiri untuk mengelakkan bangunan yang lebih tinggi, sebelum merempuh bangunan tiga tingkat dan terjatuh ke kawasan parkir.

Pihak bomba memaklumkan bahawa pesawat itu melanggar bahagian tangga bangunan, yang mungkin telah mengelakkan jumlah korban yang lebih besar.

“Jika pesawat itu melanggar bahagian sisi bangunan, ia berkemungkinan merempuh sebuah pangsapuri yang berpenghuni,” kata seorang pegawai bomba kepada laman berita G1.

SEORANG penduduk di kawasan tempat sebuah pesawat kecil terhempas ke sebuah bangunan menerima bantuan. Foto AFP

Imej yang dikeluarkan oleh pihak bomba menunjukkan anggota penyelamat membantu penduduk mengosongkan bangunan tersebut.

Menurut data daripada Pusat Siasatan dan Pencegahan Kemalangan Aeronautik, Brazil merekodkan 153 kemalangan udara pada tahun 2025 dengan jumlah kematian seramai 62 orang. – AFP

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos

Amaran gelombang haba di Seoul

SEOUL: Agensi cuaca negeri mengeluarkan amaran gelombang haba bagi kebanyakan kawasan di Seoul pada Rabu, iaitu amaran kedua bagi ibu negara