KUALA LUMPUR: Peruncit di Stesen Janakuasa Battersea, pelaburan terbesar Malaysia yang melibatkan dana awam di Eropah telah menyaksikan pertumbuhan jualan sebanyak 13.4 peratus menjelang November dan Disember 2024 berbanding tempoh dagangan musim perayaan yang sama pada 2023.
Syarikat Pembangunan Janakuasa Battersea (BPSDC) melalui satu kenyataan berkata pertumbuhan itu disumbangkan oleh kenaikan dalam jualan fesyen (+11.7 peratus), barang kemas serta aksesori (+13.3 peratus) dan produk kecantikan (+11.2 peratus).
“Menjelang akhir 2024, Stesen Janakuasa Battersea telah menerima lebih 26 juta pelawat sejak pembukaan stesen janakuasa itu kepada awam pada Oktober 2022, dengan kunjungan menokok 11 peratus dari tahun ke tahun pada November dan Disember 2024,” katanya.
BPSDC berkata lawatan Raja Charles III pada 12 Disember 2024 telah diikuti dengan minggu tersibuk Battersea Power Station dalam setahun dari segi jualan (16 hingga 22 Disember), menunjukkan peningkatan popularitinya sebagai destinasi membeli-belah musim perayaan.
Pembukaan kedai Transformers dan Peppa Pig yang pertama di dunia pada hujung November meraih populariti yang tidak disangka, dengan seorang peminat sanggup mengembara sejauh 5,958 batu bagi melawat kedai Transformers tersebut dan lebih 1,000 kanak-kanak telah bertemu Peppa Pig.
Melihat ke hadapan tahun ini, Festival Cahaya Battersea Power Station akan kembali mulai 23 Januari hingga 23 Februari 2025, dan kejiranan tepi sungai berhampiran akan meraikan Wandsworth, yang kemudian dinamakan “The London Borough of Culture” dengan aktiviti seni dan kebudayaan.
Ketua Pajakan dan Pengurusan Aset BPSDC, Sam Cotton berkata Battersea Power Station akan terus menawarkan gabungan unik dalam budaya, semangat komuniti, pusat membeli-belah bertaraf dunia selain pengalaman masa riadah, yang mana, ia telah menarik pengunjung dari London dan dari jauh.
“Pada masa sama, kami akan terus melihat ke hadapan dan merancang pembangunan fasa masa depan projek penjanaan semula yang hebat ini, dengan separuh daripada tapak seluas 42 ekar masih perlu dibangunkan,” katanya.
Pembangunan Stesen Janakuasa Battersea dimiliki oleh konsortium pelabur Malaysia, yang merangkumi Sime Darby Property Bhd (40 peratus), SP Setia Bhd (40 peratus), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (20 peratus), dengan aset komersial dalam bangunan stesen janakuasa itu kini dimiliki secara langsung oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) serta KWSP. – Bernama