KUALA LUMPUR: Jualan runcit dalam talian Malaysia melonjak 28.9 peratus pada April 2020, walaupun jumlah nilai jualan perdagangan borong dan runcit merosot 36.6 peratus berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata peningkatan jualan runcit dalam talian menunjukkan pengembangan dalam aktiviti e-dagang di negara ini.
Mengenai kemerosotan nilai jualan perdagangan borong dan runcit pada April 2020, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kejatuhan terbesar dicatatkan oleh segmen kenderaan bermotor yang merudum -93.2 peratus disebabkan jualan kenderaan bermotor yang merosot -93.7 peratus.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020, pusat jualan dan bilik pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi yang telah menjejaskan jualan kenderaan kepada pengguna,” katanya.
Mohd Uzir berkata industri lain dalam subsektor ini juga jatuh dengan signifikan iaitu Jualan Komponen & Aksesori sebanyak -91.4 peratus, Pembaikan & Penyelenggaraan (-93.6 peratus) dan Jualan, Pembaikan & Jualan Komponen & Aksesori Motosikal (-94.9 peratus).
Mengenai perdagangan runcit bagi April 2020, katanya jualan susut 32.4 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun berikutan pelaksanaan PKP menyebabkan kebanyakan industri dalam perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan negatif.
Beliau berkata perdagangan borong turut merosot -26.3 peratus dalam tempoh sama, menerima impak daripada gangguan dalam rangkaian penawaran dan permintaan di peringkat domestik dan global berikutan COVID-19.
“Bagaimanapun, industri berkaitan makanan iaitu jualan borong makanan, minuman dan tembakau serta jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup, masih mencatatkan pertumbuhan positif yang marginal,” katanya.
Bagi prestasi perdagangan borong dan runcit berbanding bulan lepas, katanya nilai jualan susut -35.2 peratus. Dari segi indeks volum, beliau berkata perdagangan borong dan runcit merosot -38.6 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. – Bernama