
BINTULU: Penduduk Kampung Jabai dan kawasan sekitarnya tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga istimewa menerusi Program Jualan Rahmah MADANI Bergerak yang berlangsung di Dewan Kampung Jabai, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pendekatan membawa Program Jualan Rahmah terus ke kawasan komuniti memudahkan rakyat mendapatkan barangan asas tanpa perlu mengeluarkan kos perjalanan yang tinggi.
“Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini juga membolehkan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menggunakan bantuan berkenaan untuk membeli barangan keperluan mereka,” katanya ketika ditemui media pada program tersebut.
Antara barangan dapur yang dapat dibeli menggunakan SARA adalah seperti telur, bawang merah, tepung gandum, minyak masak, biskut, mi segera, minuman segera serta pelbagai lagi barang keperluan pada harga lebih rendah berbanding yang ada di pasaran.
Beliau menambah, pelaksanaan program Jualan Rahmah MADANI Bergerak ini membolehkan lebih ramai penduduk, khususnya di kawasan perumahan dan kampung untuk menikmati manfaat inisiatif kerajaan dalam menangani cabaran peningkatan kos sara hidup.
Program berkenaan menerima sambutan memberangsangkan daripada penduduk sekitar yang hadir bagi mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Oleh Carolyne Utih