
KUALA LUMPUR: Ingin memberikan kelainan kepada mereka yang mencari juadah sahur yang enak dan panas mendorong empat sahabat berpakat mengusahakan gerai ‘Nasi 4 Jejaka’ sepanjang Ramadan tahun ini.
Beroperasi di Setiawangsa di sini dari 12.00 tengah malam hingga 5.00 pagi, gerai yang menyajikan kombinasi nasi putih, ayam berempah, telur rebus, timun, sambal belacan dan kuah kari atau lemak itu menjadi tumpuan umat Islam di kawasan sekitar untuk mendapatkan makanan sahur.

Pengusahanya Anas Basir A Bakar, 32, berkata idea itu tercetus daripada pengalaman peribadi mereka yang sering menghadapi kesukaran mencari makanan sahur yang berkualiti dan berpatutan.
“(Daripada) survei yang kami buat di kawasan petempatan kami ini (Setiawangsa), susah nak dapatkan menu yang betul-betul enak dan panas. Kalau ada pun mungkin satu atau dua kedai sahaja.
“Apabila dapat makan menu lengkap dengan ayam berempah yang panas, sambal, sayur dan kuah kari, secara automatik akan membangkitkan selera kita untuk bersahur. Tidak ada alasanlah untuk kita tidak mahu bangun sahur,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Anas Basir yang bekerja tetap sebagai akauntan, juga berkata perniagaan tersebut merupakan impian zaman kanak-kanaknya bersama-sama dengan tiga lagi rakan, iaitu pereka grafik Muhd Fahmi Mohd Fauzi, 26; serta Muhd Amirul Naim Abd Sattar, 27 dan Saiful Adwa Ahmad Rudin, 28, masing-masing pengurus cawangan syarikat keselamatan.
“Kami berempat membesar bersama-sama di Setiawangsa dan telah bersahabat lama serta sangat mengenali hati budi masing-masing. Sejak dari kecil lagi kami selalu berangan mahu mempunyai perniagaan bersama.
“Lagipun masing-masing boleh memasak cuma selama ini tidak ada peluang untuk berniaga. Apabila kini kami sudah bekerja dan mempunyai duit sendiri, kami dapat kumpul modal dan alhamdulilah, akhirnya impian kami menjadi realiti tahun ini,” katanya.
Beliau berkata masing-masing yang masih bujang, diberikan tugas dan tanggungjawab tersendiri agar perniagaan tersebut tidak membebankan mereka untuk bekerja di siang hari.
“Tidak dinafikan nak mengimbangi kerja tetap di siang hari dan perniagaan di sebelah malam bukan tugas mudah, namun kami mengatasi cabaran ini dengan sistem giliran dan pembahagian tugas yang teratur,” katanya, menambah sistem itu juga memastikan setiap mereka mendapat rehat yang cukup.
Sementara itu, Muhd Amirul Naim melahirkan harapan untuk melihat perniagaan Nasi 4 Jejaka terus mendapat sambutan yang luar biasa melangkaui bulan Ramadan.
“Semestinya kami bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan kami… mungkin selepas ini tambah menu atau buka ‘food truck’. Semuanya bergantung pada sambutan sepanjang Ramadan ini.
“Nasi 4 Jejaka ini sangat bermakna untuk kami kerana menjadi simbol persahabatan dan semangat keusahawanan yang boleh memberi nilai kepada komuniti,” katanya.
Muhd Amirul Naim turut menitipkan nasihat yang penuh inspirasi kepada anak muda yang mahu mengikuti jejak langkah mereka supaya tidak membiarkan kegagalan meruntuhkan semangat mereka untuk merealisasikan impian.
“Kalau mahu mencapai sesuatu yang besar, harus bermula daripada kecil barulah kita akan lebih bersemangat memburu impian dan jangan cepat mengaku salah,” katanya. – Bernama